SASTERA BUDAYA
EJEN
ALI DAN SALADIN DI
AMAZON PRIME
LIMA
animasi terbitan tempatan yang diwakili oleh Primeworks Distribution, iaitu Soccer Bugs, Cingkus Blues, Saladin, Knowsy Nina Wants to Know, dan Super Tots, serta Ejen Ali (Primeworks Studios dan Wau Animation) berjaya menembusi
Amazon Prime menerusi perjanjian yang termeterai antara Primeworks
Distribution, anak syarikat Primeworks Studios dengan Janson Media.
Penonton di
seluruh Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New
Zealand kini boleh menonton keenam animasi tersebut di Amazon Prime.
Menurut Ketua
Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, pembabitan pihaknya
dalam menerbitkan Ejen Ali memberikan
pengalaman yang sangat bermakna.
“Kami sebagai
penerbit bersama, lebih memahami kesukaran dan pentingnya komitmen yang tinggi
dalam menghasilkan sesebuah siri animasi yang bermutu tinggi,” ujar Ahmad Izham.
Tambah ‘orang
kuat’ Primeworks Studios itu, pihaknya amat berbesar hati apabila dapat bekerjasama
dengan negara luar kerana peluang tersebut amat penting bukan sahaja dari segi
keuntungan pelaburan kewangan kepada industri animasi, malah satu pengiktirafan
dunia terhadap kualiti dan penceritaan animasi Malaysia.
“Kami gembira
menjadi sebahagian penyumbang kecil dalam usaha memastikan bidang animasi
Malaysia terus maju. Setinggi-tinggi terima kasih kami ucapkan kepada pihak
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) atas sokongan mereka yang
berterusan melalui bantuan kewangan, tunjuk ajar dan intel industri,” kata
Izham.
Perjanjian yang
ditandatangani pada awal tahun ini ketika pandemik Covid-19 melanda dunia
memang amat tepat, apabila penonton hanya terbatas di rumah, dan sentiasa
mencari kandungan yang berkualiti untuk ditonton.
Tambah Izham, Primeworks
Studio berbangga hasil karya animasinya mendapat tempat di platform seperti
Amazon Prime. Rasa keterujaan lebih tinggi apabila mengetahui hasil kerja
kerasnya dapat ditonton di seluruh pelosok dunia, pada waktu yang tepat apabila
penonton sentiasa mencari program untuk ditonton.
Menurut Penerbit
Eksekutif, 3rd Rock Creations, Kar Hooi Tan pula, usaha yang dilakukan oleh
Primeworks Distribution sebagai pengedar yang mewakili syarikat kecil sepertinya
amat penting agar dapat memberi tumpuan terhadap kerja produksi. “Kami
beruntung dan bersyukur dapat meneruskan kembali perjanjian kerjasama dalam
waktu pandemik yang sukar ini. Ini berita yang berharga yang dapat dikongsikan
kepada pasukan kami yang telah bertungkus-lumus menghasilkan Cingus Blues dan Soccer Bugs,” kata Hooi Tan.
Sementara itu, Naib
Presiden Eksekutif, Bahagian Perolehan dan Pembangunan, Janson Media, Jesse
Janson menjelaskan, ekoran penularan wabak yang melanda dunia sekarang, pihaknya
melihat peningkatan jumlah penonton yang tinggi untuk kandungan kanak-kanak.
“Oleh itu,
penawaran pakej kandungan siri TV animasi kanak-kanak dari Primeworks menjadi
tambahan yang bagus kepada kandungan video kanak-kanak sedia ada di Amazon
Prime. Kami yakin siri TV animasi ini akan berjaya memikat hati penonton
Amazon,” kata Janson.
Primeworks
Distribution mempunyai kepelbagaian kandungan katalog animasi yang merangkumi
beberapa judul animasi popular di samping IP ulung, Ejen Ali, yang telah mencapai kejayaan luar biasa dalam dan luar
negara. Dengan berbekalkan dua musim penuh siri animasi TV penuh aksi,
menembusi lebih 50 negara di seluruh dunia, kejayaan Ejen Ali diteruskan ke layar perak pada November 2019.
Untuk catatan, Ejen Ali the Movie meraih kutipan RM30
juta di Malaysian Box Office, yang menjadikannya filem animasi terlaris, dan
mencatat kutipan tertinggi di Malaysia.
No comments: