SASTERA BUDAYA


KERJASAMA iQIYI DAN MEDIA PRIMA BERHAD


PENERBIT dan pengedar kandungan tempatan terbesar di Malaysia, Primeworks Studios pada 24 Julai 2020 lalu mengumumkan perkongsian kandungan dengan  iQIYI, sebuah syarikat gergasi perkhidmatan hiburan dalam talian di China, dengan menandatangani perjanjian kerjasama yang menyaksikan enam (6) drama Melayu bersiri terbaik TV3 disiarkan menerusi iQIYI, platform yang semakin pesat, dan bakal menguasai pasaran antarabangsa.
Sebagai permulaan pada perjanjian ini, iQIYI akan menyiarkan drama bersiri yang telah mendapat sambutan hangat, 7 Hari Mencintaiku 2 mulai 24 Julai 2020. Selepas satu jam tayangan perdana drama bersiri ini ditayangkan di TV3, penonton juga berpeluang menontonnya secara eksklusif menerusi platform iQIYI secara percuma.
Kejayaan besar drama ini di TV3 mendorong iQIYI turut menyiarkan episod-episod bagi musim pertama 7 Hari Mencintaiku sebagai pilihan untuk penonton setianya menyaksikan kesinambungan drama ini.
7 Hari Mencintaiku membawa kisah percintaan rumit Khuzairi terhadap Mia kerana tidak berbalas. Mia mengambil masa tujuh hari untuk menyedari perasaan sebenarnya terhadap Khuzairi. Perasaan tersebut turut berjaya mencuri hati jutaan peminat seluruh negara, apabila meraih 12 juta penonton bagi jumlah keseluruhan tontonan.
Musim kedua drama ini lebih mendebarkan dengan pertambahan konflik kehadiran orang ketiga dalam perkahwinan yang telah dibina.
Usaha sama ini turut merangkumi drama TV3 yang lain seperti Leftenan Zana, Kampung People, Setelah Ku Dimiliki, dan sebuah siri baharu yang paling dinanti-nantikan, iaitu Pengantin Satu Malam yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ogos 2020, dan boleh ditonton secara eksklusif/percuma di iQIYI, sejam selepas ia bersiaran di TV3.
Menurut Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, kerjasama yang dimeterai bersama iQIYI amat penting bagi pihaknya untuk memastikan mereka sentiasa mengikuti trend masa kini yang melibatkan platform penstriman.
“Ia bukan sahaja memberi kami peluang untuk mengikuti peredaran masa, malah kami juga dapat mensasarkan golongan penonton baharu yang berpotensi,” tambah Ahmad Izham.
Dinesh Ratnam, Pengurus Negara untuk iQIYI Malaysia, Singapore & Brunei pula menyatakan kerjasama ini merupakan sebahagian daripada misi, dan strategi utama pihaknya dalam memberikan kandungan drama Asia terbaik, dan relevan untuk pengguna, serta menyediakan kandungan drama berkualiti tinggi.
“Sehubungan itu, kami amat berbangga untuk mengumumkan kerjasama kami dengan Media Prima yang secara langsung menyaksikan kejayaan iQIYI dalam menyampaikan kandungan tempatan Malaysia yang berkualiti kepada pengguna kami,” tambah Dinesh.
Kerjasama ini, kata Dinesh lagi, merupakan langkah paling tepat dengan suntikan kreatif daripada pengurusan kanan Media Prima yang juga produser tersohor seperti Dato’ Iskandar Mizal Mahmood (Paskal The Movie, WIRA) dan Izham (Pulang, Ejen Ali The Movie). Pihaknya amat mengalu-alukan pilihan drama terbaik Media Prima ini disiarkan di platform iQIYI.
Akasia 7 Hari Mencintaiku 2 telah mula ditayangkan sejak 2 Julai 2020 di TV3 setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam. Episod 1-16 dilancarkan di iQIYI pada 24 Julai 2020, dan kesemua episod berikutnya tersedia di platform www.iQ.com, dan aplikasi  iQIYI secara percuma selepas sejam disiarkan di TV3.

DRAMA YANG TERSEDIA DI  iQIYI
(di Malaysia, Singapura dan Brunei sahaja)

7 HARI MENCINTAIKU MUSIM PERTAMA
(MUSIM 1: 28 episod x 60 minit)
Kisah percintaan rumit Khuzairi yang ditolak Mia dan tempoh tujuh hari yang diperlukan oleh Mia untuk menyedari perasaan sebenarnya terhadap Khuzairi.
Pelakon: Siti Saleha, Shukri Yahaya, Wan Sharmila, Syazwan Zulkifli

7 HARI MENCINTAIKU MUSIM KEDUA
(MUSIM 2: 33 episod x 60 minit)
Mia dan Khuzairi kini menjalani kehidupan sempurna bersama-sama anak mereka, sehingga menyebabkan cemburu orang sekeliling. Kehidupan mereka yang bahagia tiba-tiba menjadi kacau-bilau apabila ibu Khuzairi memperkenalkan Nurul, pilihannya sebagai isteri kedua untuk Khuzairi.
Pelakon: Siti Saleha, Shukri Yahaya, Wan Sharmila, Syazwan Zulkifli

LEFTENAN ZANA
(16 episod x 60 minit)
Zana bersemangat untuk menyertai khidmat tentera. Namun begitu ayahnya, Mejar Rahmat, tidak merasakan Zana mampu menanggung cabaran mental, dan fizikal latihan tentera. Dalam pada niatnya dihalang, Zana secara diam-diam telah memohon untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia.
Setelah berjaya memasuki angkatan itu, Zanan mulai merasakan bahawa anggapan ayahnya mungkin betul. Adakah Zana akan menghadapi segala cabaran di kem bagi membuktikan ayahnya salah atau mengalah?
Pelakon: Janna Nick, Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis

KAMPUNG PEOPLE
(13 episod x 60 minit)
Sebuah keluarga terpaksa menyamar sebagai orang kampung setelah si Bapa, Razif, diletakkan di bawah perlindungan sebelum memberi keterangan terhadap bosnya, seorang mafia.
Pelakon: Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Reina Diana, Namron, Hun Haqeem

PENGANTIN SATU MALAM
(28 episod x 60 minit)
Buntu kerana kekurangan wang, Zulaikha membuat perjanjian dengan bosnya, seorang anti-perempuan, untuk bersama-sama dengan hanya satu malam sebagai pertukaran untuk duit.
Pelakon: Amelia Henderson, Nazim Othman

SETELAH KU DIMILIKI
(28 episod x 60 minit)
Tragedi menimpa sepasang suami isteri yang menyebabkan mereka berpisah, dan terpaksa menempuh jalan hidup mereka sendiri. Sedikit sebanyak mereka menyedari bahawa jalan itu akhirnya menemukan mereka kembali.
Pelakon: Zul Ariffin, Intan Najuwa dan Tiz Zaqyah

No comments:

Powered by Blogger.