SASTERA BUDAYA
PAKSI SAMBUT HARI PUISI SEDUNIA 2021 DI BUMBUNG
DATUK Dr
Zurinah Hassan yang juga Sasterawan Negara (SN) ke-13, bersama-sama Yassin
Salleh (pengarah filem veteran/penyair), Ahmad Shukri Abdullah (juara Deklamasi
Puisi Kebangsaan 1996) antara yang diundang menjayakan ‘Baca Puisi Bumbung
(IDE)’ di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam pada 21 Mac lalu.
Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) menganjurkan acara yang
disambung semula selepas terhenti sekian lama itu dengan kerjasama Kerajaan
Negeri Selangor dan IDE.
SN Datuk Dr Zurinah menyampaikan pantun beliau, ‘Warisan
Bangsa’, sementara Yassin dengan sajaknya, ‘Pokok TAP yang Direpang-repang’. Shukri
pula mendeklamasikan sajaknya, ‘Kembali Muda’, dan ‘Peradaban Abad Ini’.
Presiden PAKSI, Datuk Dinsman turut hadir dan mendeklamasikan
sajak beliau, ‘Bersahabat Berjuang Bersama’.
Dalam ucapan alu-aluannya sebelum itu, Dinsman menyatakan
kekesalan beliau kerana sepohon pokok yang pernah dijadikan pentas untuk Teater Atas Pokok pada 16 dan 17 April 2016
di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam tidak diuruskan dengan wajar hingga hampir
musnah.
Pada awalnya, pokok tersebut dipilih oleh PAKSI sebagai
lokasi acara menyambut Hari Puisi Sedunia 2021. Namun demikian, disebabkan oleh
keadaan pokok tersebut yang amat daif, lokasi acara ditukar ke IDE.
Justeru ‘tragedi’ itu, Dinsman berharap pihak berkuasa
tempatan, bukan sahaja di Shah Alam, dapat berbuat sesuatu dan menyediakan dana
yang sewajarnya untuk kegiatan seni sastera budaya.
Turut menjayakan ‘Baca Puisi Bumbung (IDE)’ itu ialah penyair
terkenal Ijamala MN yang mendeklamasikan sajak ‘Makbulkan Doa Kami’, Setiausaha
PAKSI, Hasni Abas dengan sajak ‘Doa Pencuri’, dan ‘Ular yang Memakai Songkok’, dan
Ketua Penerangan PAKSI, Mohamed Nasser Mohamed (‘Penyair Apakah Kita Ini’).
Mantan Ahli Dewan Negara, Syed Shahir, serta Ayudez
Zuraina, Lim Ah Nee, dan Raja Yusof Ariffin juga hadir memenuhi undangan
penganjur.
Masing-masing mendeklamasikan sajak ‘Apa Dosanya Makhluk
Itu’, ‘Suara’, ‘Lautan Bukan Pemisah’ (karya Ratna Laila Shahidin), dan ‘Usah
Biarkan Barah Itu’.
Dalam kalangan hadirin yang kebetulan juga penggiat seni
turut dipelawa spontan mendeklamasikan sajak, iaitu Ahmad Sarju, Dr Ibrahim
Ghaffar, Harlym Yeo, dan Aloy Indra Jokina.
Menariknya, ‘Baca Puisi Bumbung (IDE)’ yang diiringi
Kreatif Akustika sebagai pemuzik iringan itu turut dihadiri Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar Kampung Tradisi, Adat Istiadat
Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah.
Dalam ucapan beliau, Borhan menghargai puisi dan ‘Baca
Puisi Bumbung (IDE)’ itu yang menurutnya selaras dengan kata-kata Allahyarham
Tan Sri P Ramlee dalam filem Seniman
Bujang Lapok, iaitu ‘bahasa menunjukkan bangsa’.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat itu turut
menyampaikan cadangan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari mahu
menganjurkan acara puisi bulanan di kediaman beliau (Menteri Besar).
Di sepanjang acara, Kreatif Akustika mendendangkan
beberapa lagu puisi dan puitis seperti ‘Doa’, ‘Kepadamu Kekasih’, ‘Nyanyian
Pantai Timur’, dan ‘Srikandi Cintaku’.
No comments: