SASTERA BUDAYA
MUZIUM TEKSTIL
NEGARA TERUSKAN PAMERAN BAJU KURUNG
ISTIMEWANYA ‘Pameran
Baju Kurung Busana Sepanjang Zaman’ di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara
(MTN), Kuala Lumpur ialah kerana ia diteruskan walaupun meskipun terganggu
beberapa kali akibat wabak pandemik COVID-19 masih melanda.
Pada awalnya, Jabatan Muzium Malaysia (JMM)
menganjurkan pameran tersebut pada 10 November 2020 hingga 31 Disember 2021. Walau
bagaimanapun, ia terpaksa ditunda ekoran larangan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP).
Selepas PKP ditukar kepada Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB), tarikh ‘Pameran Baju Kurung Busana Sepanjang
Zaman’ diubah kepada 21 Disember 2020 hingga 31 Mac 2021. Namun begitu, larangan
PKP sekali lagi membantutkannya.
PKP kemudian kembali menjadi PKPB semula mulai 5 Mac
2021. Muzium di seluruh negara dibenarkan beroperasi semula tiga hari kemudian,
Justeru, JMM melanjutkan ‘Pameran Baju Kurung Busana Sepanjang Zaman’ sehingga
30 Jun 2021 di tempat yang sama.
Pameran yang terbahagi kepada tiga segmen, iaitu
Sejarah Baju Kurung, Potongan Baju Kurung, dan Evolusi Baju Kurung ini
memperaga pelbagai baju kurung yang menjadi identiti nasional rakyat Malaysia.
Baju kurung ditampilkan dalam versi baju kurung
Teluk Belanga, dan baju kurung Cekak Musang, dengan tumpuan utamanya ialah dari
segi reka bentuk potongan, ciri-ciri, dan cara pemakaian baju kurung yang
digayakan oleh lelaki, dan wanita.
MTN dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang
(mengikut waktu operasinya, kecuali pada 1 Syawal dan 10 Zulhijah, dan Isnin
pertama setiap bulan).
Jadi, pameran menghimpunkan 50 koleksi yang menampilkan
evolusi busana baju kurung dari dahulu hingga sekarang ini boleh dikunjungi
mengikut hari dan masa yang telah disebutkan tadi.
Teknik persembahan ‘Pameran Baju Kurung Busana
Sepanjang Zaman’ terbahagi kepada peragaan pada mannequin dan torso, penggunaan sokongan koleksi secara sendeng,
dan berbentuk T, selain mempamerkan gaya pemakaian baju kurung yang dipadankan
dengan kain sarung secara ombak mengalun, tindih kasih, kain berdagang, dan
berdagang luar.
‘Pameran Baju Kurung Busana Sepanjang Zaman’
dikendalikan oleh Salmiahwati Djaafar sebagai kurator, dan Azila Rohani@Rosani
(penolong kurator).
Antara yang dipamerkan ialah baju kurung Cekak
Musang yang dihasilkan daripada kain tenun Pahang Diraja dengan teknik bunga
colek benang emas, potongan berpesak, berkekek dan berkolar dengan hiasan lima
butang.
Selain itu, baju Belah Labuh yang diperbuat daripada
songket dengan motif bunga cengkih dengan potongan baju berbelah di hadapan,
dan berkekek serta dijahit dengan jahitan belah kangkung turut dipamerkan.
Pengunjung pameran juga boleh melihat baju kurung
Cekak Musang yang dihasilkan daripada songket bermotif bunga Cina bertabur
lengkap dengan kekek, pesak, kocek tampal dan kolar berkancing tiga.
Turut dipamerkan ialah baju kurung moden daripada
kain broket mempunyai kekek, pesak dan dicantumkan dengan jahitan kelim Betawi.
Selain itu, ada juga baju Layang daripada songket
bermotifkan bunga pecah lapan, buah cermai dan pucuk rebung merupakan pakaian
pada bahagian luar baju. Dan baju kurung Teluk Belanga daripada kain kes
bermotif bunga-bungaan dengan potongan berpesak dan berkekek.
No comments: