SASTERA BUDAYA

 

KMY KMO, LUCA SICKTA SEMAKIN DITERIMA

 

SETELAH lebih lima tahun tidak muncul dengan single terbaharu, kumpulan Hijjaz akhirnya mengubati kerinduan peminat dengan lagu ciptaan dan dendangan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ yang diberikan nafas baharu menjadi ‘Tiada Kata Secantik Bahasa (TKSB) 2020’.

Walau bagaimanapun, yang menariknya, tidak hanya Hijjaz yang dianggotai Munif Ahmad, Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman, dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim mendendangkan lagu berkonsepkan selawat itu.

TKSB 2020 menyaksikan kolaborasi julung kalinya kumpulan nasyid yang ditubuhkan sejak 1997 itu bersama-sama tiga bakat muda, iaitu duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta, serta bekas peserta program realiti televisyen Mentor musim ketujuh, Pasya.

Bagi menampilkan kelainan selepas sekian lama tiada ‘buah tangan’, Hijjaz menyuntikkan elemen segar ke dalam single terbaharu itu apabila memasukkan rock nasyid rap (RNR).

Salah seorang ahli Hijjaz, lsman Nadim Isam yang juga pencetus idea kepada TKSB 2020 bahkan turut bertindak menulis lagu, lirik serta penerbit lagu itu berkata, dia mendapat iiham hampir tiga tahun lalu ketika berada di Madinah.

Jelas Isman, ramai orang meminati P Ramlee, malah lagu-lagunya malar segar, serta masih melekat di jiwa kebanyakan daripada kita.

‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ adalah antara lagu P Ramlee yang amat digemari Isman, dan menganggapnya baik.

Sewaktu berada di Madinah pada sekitar 2018, Isman memberitahu dia terfikir mengapa lagu itu tidak digubah menjadi lagu selawat. Beliau mahu menukar liriknya yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasullullah SAW.

Isman berdoa semoga karya itu dapat menjadi ‘ladang pahala’ bukan sahaja kepada mereka yang turut berselawat apabila mendengarnya, malah ia turut mengalir kepada P Ramlee.

Itulah objektif utamanya, jelas Isman. Di sepanjang berada di Masjid Nabawi, beliau menggunakan kesempatan ‘berbual-bual’ dengan Rasullullah, sambil meminta Baginda mengaminkan doanya.

Setelah hampir tiga tahun, hasrat Isman itu akhimya termakbul.  Tambahnya, kekangan bajet menjadi faktor hasrat menghasilkan single terbaharu itu tertangguh agak lama. Selain itu kata Isman, urusan mendapatkan kelulusan hak penciptaan lagu yang pastinya menyukarkan menjadi antara sebab kenapa mereka melupakan hasrat itu.

Namun demikian, penantian itu nyata tidak sia-sia, dan doa mereka seolah-olah dimakbulkan apabila Universal Music Malaysia yang juga pemegang hak cipta lagu P Ramlee menawarkan projek single kepada mereka. Enggan menunggu lama, Hijjaz ‘menyambar’ tawaran yang dihulurkan oleh syarikat rakaman terkemuka itu.

Ketiadaan bajet membuatkan Hijjaz terpaksa memendamkan hasrat untuk menerbitkan lagu itu pada mulanya. Lagipun ia melibatkan syarikat yang besar, jadi dibiarkan sahaja hasrat itu terpendam.

Walau bagaimanapun, Isman menganggapnya sebagai rezeki apabila menerima panggilan telefon daripada Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng sebelum sambutan Maulidur Rasul 1441/2020.

Hermond bertanya adakah Isman mempunyai lagu baharu. Bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’, Isman menceritakan kepada Hermond mengenai rancangan Hijjaz, dan secara kebetulan pula Universal Music adalah pemegang hak cipta lagu-lagu P Ramlee. Jadi proses yang dilalui tidak menghadapi kesukaran.

Menurut Isman semasa sidang media memperkenal lagu ini di Auditorium Symphony, Petaling Jaya pada 17 Mac lalu, beliau turut memberitahu Hermond mengenai pencarian penyanyi rap untuk berkolaborasi dalam lagu TKSB 2020. Hermond mengesyorkan Hijjaz bekerjasama dengan Kmy dan Luca.

Secara kebetulan, Isman memang mengagumi duo berkenaan. Kmy dan Luca, katanya,  bukan sahaja berbakat menyanyi rap dengan baik, malah lirik yang mereka hasilkan juga bagus. Lagu ‘7 Nasihat’ menambahkan lagi keterujaan Hijjaz.

Justeru, Hijjaz terus bersetuju dan meminta Kmy dan Luca menghasilkan lirik untuk bahagian rap TKSB 2020.

Bagi mencipta variasi kepada lagu berkenaan juga, kata Isman, mereka mengundang bekas peserta Mentor, Pasya kerana kehebatannya mendendangkan lagu rock.

Selain menarik peminat nasyid, Hijjaz juga mahu melihat gabungan bersama-sama penyanyi rap dan rock mampu menarik lebih ramai peminat dari genre muzik lain.

Walaupun kali pertama bergabung, Isman menjelaskan mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencipta keserasian. Katanya, proses rakaman dan juga penggambaran video muzik berjaya disiapkan dalam ternpoh tidak sampai lima jam.

Mereka masuk ke studio pada kira-kira jam 2 petang, dan selesai sebelum maghrib, malah sempat berhenti untuk solat asar berjemaah.

Selain Isman dan Hermond, sidang media tersebut turut dihadiri Munif, Faizal, dan Ariffin, serta Kmy, Luca, dan Pasya.

Menurut Isman, Hijjaz ceria bekerja dengan Kmy dan Luca kerana mereka sangat baik, dan mampu memberikan apa yang Hijjaz mahu. Pada sesi rakaman juga, Hijjaz sempat mengajar Pasya berqasidah kerana dia dan Munif tampil sebagai penyanyi solo untuk TKSB 2020 yang memerlukan mereka berqasidah.

Sebenarnya Hijjaz mahu mengundang Azlan dari kumpulan Azlan & The Typewriter, tetapi tidak kesampaian kerana penyanyi itu sibuk, dan kebetulan pula ketika Pasya menyertai Mentor, Isman ada mengikuti persembahannya, dan tertarik. Jadi, Pasya dianggap paling tepat untuk menggantikan Azlan.

Hijjaz yang pernah popular dengan lagu ‘Sumayyah’ tidak kisah jika ada yang mempertikai tindakan mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil lagu Seniman Agung itu yang diberikan nafas baharu.

Isman mengakui oleh kerana sekian lama tidak tampil dengan produk terbaharu, tentu mereka mahukan sebuah fagu yang mudah diterima, dan mesra telinga pendengar. Lagipun tambahnya, bukan satu kesalahan, apatah lagi lagu itu juga bermanfaat kepada P Ramlee.

Jelas Isman, setelah difikir-fikirkan semula, lagu baharu mungkin mengambil masa sedikit untuk diterima. Dalam keadaan sekarang, ramai penyanyi tidak menghasilkan album, sebaliknya memilih tampil dengan single.

Apabila muncul dengan single, lagu itu perlulah ada faktor ‘wow’. Jadi, Hijjaz memang tidak menafikan, antara sebab memilih lagu P Ramlee ini adalah kerana telah melekat di hati masyarakat.

Ketika Hijjaz memperdengar lagu itu kepada golongan yang lebih berusia, ramai yang menyukainya, malah ada yang sehingga mengalirkan air mata.

Hijjaz tidak peduli jika ada yang mempertikai tindakan mereka ini, kerana bukan satu kesalahan pun.

Tambah Isman, Hijjaz hanya mahu mengajak peminat bersama-sama berselawat, selain sebenarnya turut cuba membawa kelainan kerana tidak mahu nasyid berada pada takuk sama.

Inilah faktor yang mendorong Hijjaz berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap. Untuk seterusnya, tambah Isman, mereka merancang untuk menjalin kolaborasi (mungkin) dengan Joe Flizzow dan SonaOne pula supaya muzik nasyid akan lebih bersifat sejagat, dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

TKSB 2020 telah dilancarkan pada Disember 2020. Namun demikian, disebabkan oleh PKP, promosi lagu berkenaan tidak dapat dilakukan.

Justeru, Hijjaz kini giat mempromosikannya supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar.

Mengakhiri sidang media itu, Hijjaz berzama-sama Kmy, Luca dan Pasya mendendangkan TKSB 2020 secara langsung.

Kmy dan Luca semakin menanjak mewarnai industri hiburan Malaysia, terutamanya dalam kalangan peminat muzik hip hop. Karya bermutu tinggi yang ditonjolkan menguatkan lagi kedudukan mereka di persada seni tanah air.

Justeru, tidak aneh kalau ramai penyanyi berlumba-lumba dan mulai mengintai untuk mendapatkan khidmat mereka sebagai komposer, atau rakan menyanyi berkolaborasi.

Kejayaan lagu ‘7 Nasihat’ nyanyian Kmy dan Luca bersama-sama Dato’ Sri Siti Nurhaliza membuktikan mereka tidak lagi boleh dipandang sebelah mata.

Lagu sebelumnya, ‘Zuhud’ yang dikolaborasi bersama-sama Datuk M Nasir juga telah mewujudkan magis tersendiri.

Seperti yang diketahui umum, ‘7 Nasihat’ membawa Kmy dan Luca ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 35 yang berlangsung pada 14 Mac lalu. Mereka bergandingan dengan Shiha Zikir yang menggantikan Siti Nurhaliza.

Sentuhan mereka seterusnya, ‘Neraca’, telah mencetuskan fenomena terbaharu dalam industri muzik tempatan.

Dalam lagu yang dilancarkan pada 19 Februari lalu itu. Kmy dan Luca berkolaborasi pula dengan seorang lagi penyanyi ‘legenda hidup’, iaitu Dato’ Jamal Abdillah.

Menurut Luca atau nama sebenamya, Shameer Ashraf Shahruddin, dari awal lagi mereka telah membayangkan Jamal sebagai rakan bersama-sama menyanyikan lagu itu.

Mengenai pemilihan penyanyi bertaraf legenda dan Datuk/Dato’ bekerjasama dengan jenama ‘Kmy Kmo’ dan ‘Luca Sickta’, Luca menjelaskan itu adalah ‘wish list’ dan cita-cita mereka sejak awal pembabitan dalam bidang penulisan, dan penciptaan lagu.

Mereka telah menunggu sekian lama peluang sebegini. Sebenarnya, dari zaman sekolah lagi mereka telah menghasilkan muzik.

Sejak itu lagi Kmy dan Luca bercita-cita bekerjasama dengan penyanyi legenda. Mereka, kata Luca, memang telah ada senarai nama penyanyi tersebut.

Masih mengekalkan genre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae, ‘Neraca’ telah dihasilkan pada 2018.

Kmy atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim, menjelaskan ‘Neraca’ diperam selama dua tahun, dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

‘Neraca’ boleh dianggap sebagai kesinambungan ‘Zuhud’ yang dilancarkan pada Disember 2019.

Kmy dan Luca mengakuinya dalam sidang media memperkenal ‘Neraca’ di Auditorium Symphony, Petaling Jaya, 17 Mac lalu.

Menurut mereka, lagu tersebut adalah kesinambungan mesej ‘Zuhud’ di mana ia merangkumi keseluruhan, dan seimbangkan mengenai kehidupan yang dilalui kini, apatah lagi dalam zaman media sosial dan gejala sosial yang semakin parah.

Muzik ‘Neraca’ boleh dikatakan lebih berat daripada ‘Zuhud’. Pun begitu, tambah Kmy, ia mengikut selera pendengar juga. Mungkin, katanya, ada yang suka dan ada yang tidak.

Jamal yang turut menghadiri sidang media tersebut, turut menyifatkan kerjasama dengan Kmy dan Luca dalam ‘Neraca’ sebagai satu pengalaman baharu.

Raja Pop Malaysia itu turut menyifatkan Kmy dan Luca sangat berbakat. Proses rakaman, katanya, sangat santai, mudah dan tidak terlalu sukar.

Tambah Jamal. bekerja dengan anak muda seperti Kmy dan Luca memang menyeronokkan.

Demikian juga ketika proses penggambaran video muzik yang menurut Jamal sebagai penuh erti tersirat yang perlu dihayati.

Jelas Jamal, mesej yang ingin disampaikan oleh ‘Neraca’ agak kuat, iaitu berkisar mengenai perjalanan manusia dalam menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa. Katanya, banyak mesej baik dan ditampilkan dengan keunikan.

Justeru, Jamal mengakui harapannya untuk ‘Neraca’ sangat tinggi, dan semoga dapat diterima oleh pendengar muzik terkini, terdahulu, dan ketika zaman saya, kerana ia menggabungkan dua generasi.

Melodi dan muzik ‘Neraca’ juga, tambah Jamal, agak unik termasuklah rap yang disampaikan sangat bermakna dan perlu dihayati.

Ternyata penantian lama Kmy dan Luca, serta persetujuan Jamal untuk berkolaborasi tidak sia-sia.

Sidang media ‘Neraca’ diakhiri nyanyian lagu tersebut oleh Kmy, Luca dan Jamal. Dalam majlis tersebut, Hermond turut menyampaikan anugerah kepada Kmy dan Luca atas kejayaan ‘Zuhud’, ‘7 Nasihat’, dan juga lagu ‘Gong Nekara’.  

Video muzik ‘Neraca’ berjaya meraih 100 ribu tontonan di YouTube dalam masa 24 jam, dan terus mencatat rekod baharu selama tiga hari berturut-turut.

TKSB dan ‘Neraca’ telah tersedia di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBOX dan YouTube Music sejak 19 Februari lalu. video muzik rasminya juga boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

No comments:

Powered by Blogger.