PENDIDIKAN
JPKM Buka Peluang Kedua untuk Anak Keluarga Malaysia ke Pengajian Lebih Tinggi
PADA 8 Julai 2022 lalu, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) melancarkan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022 peringkat Parlimen Kuala Selangor yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Majlis yang berlangsung di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor ini telah disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Haji Omar.
Setelah tertangguh selama dua tahun akibat wabak pandemik COVID-19, JPKM kali ini diikuti oleh 19 universiti awam (UA), dan kemahiran teknikal. Dalam majlis itu juga, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul menyerahkan surat tawaran kemasukan ke menara gading, dan sumbangan bantuan tunai awal pengajian sumbangan Yayasan Petronas, serta bantuan cermin mata percuma kepada anak-anak Kuala Selangor dan Tanjung Karang yang layak.
Antara yang turut hadir ialah Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Datuk Abdul Malik Abdullah, Shariah Nelly Francis, Alias Awang, dan Haji Mohd Azuan Mohd Nawawi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Haji Omar.
JPKM 2022 ini merupakan daya usaha dan projek khas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam membuka peluang kepada capaian pendidikan tinggi negara untuk seluruh masyarakat, terutamanya penduduk di kawasan pedalaman, ataupun luar bandar.
Sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi mencari, mengenal dan membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016-2021, anak-anak Keluarga Malaysia (KM) yang kurang bernasib baik, dan kurang kemampuan dari segi kewangan di seluruh negara.
Menurut Tengku Zafrul, atas kepentingan penganjuran JPKM 2022 ini, kita sebagai sebuah keluarga di kawasan Kuala Selangor harus sama-sama memanfaatkan pelaksanaannya untuk diangkat ke tahap lebih tinggi demi masa depan anak-anak.
“Jelajah Pendidikan sebelum ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya ibu bapa pelajar yang tercicir, dan kurang bernasib baik. Siri jelajah ini dapat melahirkan insan berilmu dan ada kemahiran, sekali gus membantu pembangunan modal insan,” tambah beliau.
Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sementara itu, Tan Sri Noh memberitahu JPKM Parlimen Tanjung Karang telah memberi peluang kepada 428 pelajar lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia menerima tawaran dari pelbagai UA. Seramai 120 pelajar yang layak diberikan bantuan awal pengajian sumbangan Yayasan Petronas dan bantuan cermin mata percuma dari Yayasan Hasanah.
“Secara keseluruhannya, JPKM telah memberikan
sumbangan besar kepada rakyat Malaysia, khususnya bagi golongan pelajar
tercicir, dan kurang kemampuan untuk diberikan peluang kedua melanjutkan
pengajian ke peringkat pendidikan tinggi,” ujar Noh.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin
Ghazali bersyukur kerana ramai yang telah menerima bantuan menerusi sumbangan. Beliau
juga berterima kasih kepada rakan-rakan strategik JPKM melibatkan UA, dan
kemahiran teknikal yang sentiasa bersama-sama sekretariat meneruskan jelajah.
“Terima kasih untuk setiap pengorbanan masa,
keringat dan tenaga bagi memastikan anak bangsa terus mendapat tempat di menara
gading. JPKM ternyata menyediakan
peluang kedua kepada anak-anak KM mendapatkan tempat di UA terpilih agar mereka
mampu mengubah nasib masa hadapan yang lebih cemerlang,” kata Datuk Aizuddin.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa
Induk JPKM, Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Penasihat
Ekonomi & Antarabangsa PRIHATIN, Datuk Abdul Malik Abdullah; Ketua Pegawai
Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis; Ketua Penolong Pengarah
Kanan Jabatan Pendidikan Negari Selangor, Alias Awang, dan Pegawai Pendidikan
Daerah PPD Kuala Selangor, Haji Mohd Azuan Mohd Nawawi.
No comments: