PELANCONGAN/SUKAN
KLTITC Akan
Kembali Menakluki Menara Kuala Lumpur
SESUATU yang menggembirakan bagi para
penggiat dan peminat sukan lasak di negara ini ialah kembalinya JomRun, acara
larian ikonik dan utama Asia Tenggara selepas dua tahun.
Pada 14 Ogos 2022 nanti, akan diadakan JomRun Ikonik
Cabaran Menaraton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KLTITC) yang disertai
kira-kira 2,000 pelari.
Dengan rekod kejayaan selama 19 tahun, KLTITC telah
membina prestijnya yang tersendiri di Malaysia, dan mampu menarik penyertaan
pelari dari seluruh dunia.
Larian ini menghamparkan cabaran yang unik kepada para
pelari, iaitu mendaki 2,058 anak tangga sehingga ke garisan penamat, di puncak
tertinggi di Kuala Lumpur, iaitu setinggi 288 meter dari paras bumi.
Pada 7 Julai 2022 lalu, telah berlangsung pelancaran
dan sidang media KLTITC di Megaview Menara Kuala Lumpur, yang disempurnakan
oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan
Ahmad Kamal.
Turut hadir ialah Pengasas dan Pengarah Urusan/Ketua
Pegawai Eksekutif JomRun Sdn Bhd, Chang Yi Hern; Pengarah Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Azhan Abrar; Pengarah Jabatan Sukan,
Pelancongan, Seni, dan Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Khairul Azmir
Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar.
Dalam ucapannya, Ainol Shaharina mengucapkan ribuan
terima kasih kepada semua hadirin, dan mengalu-alukan kedatangan mereka ke
menara komunikasi tertinggi di Asia Tenggara, dan ketujuh tertinggi di dunia.
Selain mengucapkan terima kasih kepada Wan Ahmad
Fayhsal yang sudi menyempurnakan pelancaran, beliau bersyukur kepada Allah SWT
kerana dapat bertemu dengan hadirin menunggu kedatangan KLTITC 2022.
Sementara itu, Chang Yi Hern mengatakan pihaknya amat
berbangga dapat membawa kembali KLTITC, salah sebuah acara larian yang begitu
terkenal di Malaysia. Katanya, JomRun KLTITC telah mencabar, dan memberi
inspirasi kepada ribuan orang selama 19 tahun.
“Kami tahu kami akan melakukannya lagi pada tahun ini.
Untuk JomRun KLTITC 2022, matlamat kami ialah terus mencipta lebih peluang
kepada para penggila acara larian, sekali gus mewujudkan gaya hidup sihat,”
tambah Chang dalam ucapan beliau.
Kata Chang lagi, sebagai penganjur profesional pertama
dan tunggal larian menara di Malaysia, dengan mematuhi peraturan Persatuan
Larian Menara Sedunia, JomRun mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan
keselamatan semua peserta.
“Untuk mengelakkan sebarang kecederaan dan kejadian
tidak diingini, para pelari akan berlari ke atas seorang demi seorang. Pemenang
akan ditentukan menerusi masa yang diambil untuk melengkapkan keseluruhan
cabaran,” jelas Chang.
Pada tahun ini, tambah beliau, pihaknya gembira melihat
kebanyakan peserta bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Singapura, Brazil,
Jepun, Jerman dan banyak lagi, dengan peserta tertua berusia 73 tahun, dan
termuda pula 11 tahun. JomRun juga berharap lebih ramai akan menyertai larian
dan menguji kemampuan mereka.
Pendaftran untuk menyertai KLTITC 2022 dibuka sehingga
12 Ogos 2022. Rakyat Malaysia yang ingin mengambil bahagian boleh membuat pendaftaran
awal pada kadar hanya RM80 seorang. Bagi rakyat luar negara pula, mereka boleh
mendaftar sekarang pada kadar RM120 seorang.
Dalam ucapan beliau, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan
kegembiraan kerana acara yang dinanti-nantikan kembali semula. Justeru, peluang
yang ada ini, tambah beliau, jangan dipersia kerana sukan sentiasa memberikan
kebaikan seperti kesihatan.
Sebagai timbalan menteri yang berkaitan dengan
perpaduan kaum, sukan juga, kata beliau boleh menjadi alat menghakis permusuhan,
dan persengketaan.
Sementara itu, khabarnya setiap peserta akan menerima
jersi Ultron Superlite, alas dada perlumbaan dengan cip penetap masa, sijil
elektronik, insurans kemalangan peribadi, juadah ringan, dan pingat penamat
bagi peserta yang menamatkan cabaran.
Peserta sehingga ke garisan penamat juga boleh memilih
untuk menambah jersi Premium Penamat eksklusif pada harga diskaun RM49.99.
Pemenang kategori terbuka akan menerima hadiah wang
tunai RM1,000 dan sebuah trofi. Naib juara pertama akan diberikan RM500 dan
sebuah trofi, sementara naib juara kedua memperoleh RM250 dan sebuah trofi.
Dalam kategori veteran pula, para pemenang masing-masing akan menerima RM500, RM250, dan RM100 bersama-sama trofi.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
KLTITC 2022 diperkuat oleh Rakan Baju Rasmi, Ultron, iaitu
jenama pakaian sukan nombor satu di Malaysia. Acara ini mendapat sokongan Kelab
Larian JomRun, TrackAsia – cip penentu masa RFID utama, dan Menara Kuala Lumpur
Malaysia.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai KLTITC
2022, sila lawati https://www.jomrun.com/event/JomRun-KL-Tower-International-Towerthon-Challenge-2002.
No comments: