AGAMA
Penubuhan Majlis Ulama Asia Tenggara di KL di Bawah Payung Liga Muslim Sedunia.
SEBELUM Persidangan Ulama Sedunia di Kuala Lumpur pada tahun depan, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022. Persidangan kali pertama itu berlangsung pada 30 Jun 2022 yang lalu.
Persidangan tersebut diadakan di bawah naungan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang turut menampilkan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Senator Ustaz Datuk Haji Idris Ahmad.
Berlangsung sehari, Persidangan Ulama Asia
Tenggara 2022 disertai 44 penceramah dari 17 negara. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Dato’
Sri Ismail.
Ismail
bangga kerana Malaysia dipilih menjadi tuan rumah persidangan ini oleh Liga
Muslim Sedunia, yang sudah pasti merupakan pengiktirafan untuk negara kita, dan
menonjolkan Islam sebagai agama keharmonian, keselamatan dan kemakmuran.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan
kehadiran perwakilan luar negara membuktikan kesungguhan penganjur dalam
meningkatkan solidariti Islam dan ummah, serta berperanan mengharmonikan
hubungan antara umat Islam, dan pelbagai lapisan masyarakat.
“Persidangan
ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk
pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu, dan Islamofobia, atau
pandangan prejudis terhadap Islam,” kata Ismail.
Perdana Menteri berpendapat penyelesaiannya
perlu dicari, dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak agar
kesucian agama Islam, dan solidariti ummah dapat dipertahan.
Sementara itu, Syeikh Dr Muhammad memuji
Ismail atas persetujuan menubuhkan Majlis Ulama Asia Tenggara di Kuala Lumpur
di bawah payung Liga Muslim Sedunia.
Beliau
juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia dan kerajaannya menerusi Jabatan
Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) atas penganjuran Persidangan Ulama Asia
Tenggara 2022 ini.
Syeikh Dr Muhammad mengatakan pihaknya
gembira mengadakan mesyuarat luar biasa yang menghimpunkan ulama sedunia, di
negara-negara yang mempunyai kepentingan dalam peta dunia Islam kita dan dunia
amnya, iaitu negara-negara Asia Tenggara.
Persidangan
ini juga mengesyorkan agar perpaduan ummah berlandaskan prinsip toleransi, dan
bekerja atas dasar interaksi antara manusia seperti yang dianjurkan oleh Islam,
dan para peserta menekankan untuk menentang dan menolak ekstremisme, menanamkan
prinsip kasih sayang, dan belas kasihan dalam hati individu tanpa melihat
kepada agama.
Peserta mengesyorkan bahawa prinsip toleransi dan menghormati hak orang
lain menjadi keutamaan dalam bekerjasama dengannya bagi mencapai keamanan dan
kesejahteraan global dan menekankan bahawa rancangan keamanan dan keselamatan
masa depan harus dibangunkan oleh pemimpin negara berdasarkan tujuan syariah
umum untuk membina negara-negara yang penuh dengan kemakmuran, keamanan,
kemajuan dan perpaduan, seperti yang difirmankan Allah SWT dalam al-Quran yang
maksudnya, “(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang
Maha Pengampun.”
Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 turut
mengesyorkan agar persefahaman bersama, yang diketahui sebagai fiqh kehidupan,
menjadi asas kepada agenda setiap negara untuk membina masa depan baharu, berteraskan
perpaduan dan keharmonian yang utuh dalam kalangan seluruh anggotanya.
Para peserta menyarankan pengukuhan perpaduan
negara dengan berpegang kepada akidah Ahlus-Sunnah wal-Jama'ah untuk
mengesahkan bahawa ajaran Islam sampai kepada manusia dengan cara, dan
pendekatan yang betul.
Pada
penghujung persidangan, Dr Muhammad menegaskan bahawa Persidangan Ulama Asia
Tenggara 2022 berjaya mencapai beberapa matlamatnya.
Tambah Muhammad, yang paling penting ialah memperhalus visi bertamadun yang akan menggariskan
nilai-nilai kesederhanaan dalam masyarakat, menyumbang kepada mempertingkat
persaudaraan, dan kerjasama antara negara dan rakyat, serta berusaha
menyebarkan kesedaran tentang konsep perpaduan, keamanan dan keharmonian dalam
kalangan pemimpin, pemikir dan pempengaruh dalam masyarakat manusia amnya, dan
belia khasnya.
“Usaha kerajaan Islam hari ini akan mengekang fahaman yang melampau yang
telah menyumbang kepada memburukkan imej Islam sebenar, dan akan menyumbang
kepada penyebaran nilai-nilai keadilan, toleransi, persaudaraan, dan pemikiran
sederhana,” kata Muhammad lagi.
No comments: