SYARAHAN KRISIS MEDIA JOHAN JAAFAR TETAP BERGUNA
WALAUPUN berbentuk umum kerana Syarahan Umum, tetapi isi penyampaian Tan Sri Johan Jaafar sebagai pensyarah jemputan selama kira-kira dua jam, tetap bermanfaat kepada semua yang mendengarnya pada 13 Disember 2022 lalu.
Tidak kira pelajar Jabatan Media & Komunikasi Universiti Malaya (UM) yang majoriti memenuhi Auditorium Anjung Ilmu, Fakulti Sastera & Sains Sosial UM itu atau umum, semua yang hadir bertuah kerana berpeluang menimba ilmu, dan mendengar pengalaman seorang tokoh yang telah diangkat sebagai Tokoh Wartawan Malaysia.
Tan Sri Johan dalam syarahannya telah menyentuh banyak perkara penting. Ia amat berharga yang juga boleh dianggap ‘pelbagai dalam satu’.
Justeru, laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa 117 wartawan terbunuh di seluruh dunia semasa bertugas dari 2020 ke 2021 – 62 orang pada 2020 yang menurun kepada 55 orang (2021), tetapi meningkat semula kepada 66 orang sehingga September 2022 tetap berfaedah sebagai maklumat.
Pada permulaan syarahannya, mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan (1992-1998) itu mengingatkan kepada peristiwa Mogok Utusan Melayu atau Mogok 1961 pada tahun tersebut kerana membantah langkah Umno (Kerajaan Perikatan) mahu menguasai Utusan Melayu.
“Mogok tersebut menjadi titik tolak penting dalam dunia persuratkhabaran atau media tanah air, iaitu bermulanya penguasaan kerajaan atau pemerintah terhadap isi kandung akhbar yang diterbitkan,” kata Johan.
Akhbar Utusan Melayu yang pertama terbit pada 29 Mei 1939, diketuai Abdul Aziz Ishak (Presiden Singapura yang pertama pada 1965) dengan Abdul Rahim Kajai sebagai pengarangnya.
Tokoh Wartawan Malaysia, Tan Sri Johan Jaafar.
Prof Dr Hamedi Mohd Adnan (berdiri) sebagai pemudah cara.
Johan yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka kemudian menyentuh tajuk syarahan, iaitu Krisis Media: Di Belakang Duri, Di Depan Api yang diilhamkan daripada sajak karya Sasterawan Negara ketiga (1983), Datuk (Dr) Usman Awang.
Ia menggambarkan keadaan wakil media atau wartawan yang masih tersekat, dan dikekang dalam tugas menyebarkan maklumat atau berita sahih. Tidak dinafikan krisis tersebut bermula dari penguasaan Umno terhadap Utusan Melayu.
“Krisis media terjadi kerana revolusi media sosial, serta menyentuh soal relevansi, model perniagaan, dan kepercayaan. Sehubungan itu, adakah media konvensional masih relevan ketika media baharu kian menguasai?” ujar Johan mengenai punca krisis media.
Tan Sri Johan Jaafar dalam syarahannya telah menyentuh banyak perkara penting.
Dalam memikirkan semula soal media ini, beliau menyentuh isu hak asasi manusia, gejala paparazzi, tanggungjawab sosial, dan permintaan pasaran.
Johan
turut menyentuh sejarah pertembungan golongan tradisional dengan golongan
progresif.
“Pertentangan
antara kaum lama dengan kaum muda (yang diabadikan dalam buku Al Imam – 1906 dan Idaran Zaman -1925) membuktikan bahawa perdebatan secara bijak dan menggunakan
ilmu telah bermula pada 1906,” jelas beliau.
Johan
turut mengingatkan kembali peranan sastera dalam membawa pembaharuan telah
dimulakan oleh Al-Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi menerusi novelnya, Faridah Hanom (1925), yang memberikan
makna sebenar progresif.
Menyebut Utusan Melayu tidak lengkap jika
melupakan penerbitan akhbar berbahasa Melayu yang pertama di negara kita, Jawi Peranakan pada 1876.
“Bermula
dari itu, keghairahan menerbitkan akhbar tidak hanya di bandar-bandar besar,
malah di bandar kecil pada era 1930-an sehingga 81 buah akhbar diterbitkan di
seluruh negara,” kata Johan.
Pada 1935
hingga 1936, tambahnya, iaitu dalam tempoh setahun sahaja, sebanyak 25 akhbar
diterbitkan.
Selain Faridah Hanom yang mewakili karya
sastera tanah air, Johan turut menyentuh soal politik negara yang mengaitkan
beliau, termasuk dipecat dari Utusan Melayu (M) Berhad sebelum pemecatan Datuk
Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
Demikian juga
dengan isu yang menggegarkan negara sehingga membawa kepada kejatuhan Kerajaan
Barisan Nasional sekali gus Datuk Sri Mohd, Najib Tun Abdul Razak dalam Pilihan
Raya Umum ke-14, iaitu skandal 1 Malaysia Development Berhad atau 1MDB.
Sebelum mengakhiri
syarahannya, Johan meminta kerajaan menghormati kebebasan media dan peranan
para pengamalnya. Tegas beliau, kebebasan media perlu dalam memastikan
kewujudan semak, dan imbang pentadbiran mana-mana kerajaan pun.
Syarahan
Umum berkenaan dimudahcarakan oleh Ketua Jabatan Pengajian Media &
Komunikasi UM, Prof Dr Hamedi Mohd Adnan.
Turut
hadir termasuklah penulis dan sarjana veteran Dr Syed Husin Ali dan Prof
Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong; penulis dan budayawan veteran Raja Ahmad
Aminullah, dan pensyarah jabatan yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional
Malaysia atau PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.
No comments: