Penampilan khas penyanyi/pelakon Zack Kool sebagai Tengku Zulkefli

*******************************************************************

TEATER

 

Beberapa Perkara Menarik Teater Purbawara Batu Belah Hebat   

 

SEJAK sekian lama kisah batu belah batu bertangkup telah diketahui umum dalam kalangan kita. Walau bagaimanapun, tentu menarik kalau ada pihak yang memaparkan kisah ‘batu belah tidak bertangkup’. Sebagai contoh, dalam karya visual seperti pementasan teater.

 

Begitu pun, berdasarkan rekod, ini bukanlah pementasan baharu atau kali pertama. Jika untuk pementasan pertama pada 2006, tokoh teater dari Pertubuhan Teater Hidayah (Hidayah), Kamarul AR bertindak sebagai pengarahnya.

 

Selepas 17 tahun, Kamarul atau nama sebenarnya Haji Kamaruzaman Haji Ibrahim memilih untuk hanya berlakon. Tugas mengarah diserahkan kepada Presiden Hidayah, yang juga anak beliau, Yusry.

 

Oleh sebab cuma Batu Belah sebagai judulnya yang membawa maksud tersendiri, tetapi berdasarkan isu semasa, ia tetap relevan dipentaskan pada tahun ini.

___________________________________________________________________________________



   Babak-babak membabitkan Raja Muda Pekan dan Puteri Mayang Mengurai.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Babak-babak pertarungan antara Raja Muda Pekan dengan Datuk Hitam Perkasa.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Menurut Kamarul yang juga penulis skripnya, hanya batu belah tanpa bertangkup membawa maksud sesuatu perkara yang berlaku, misalnya dalam sesebuah negeri/negara yang perlu diselesaikan, atau mungkin juga tidak akan selesai.

 

“Siapa yang akan menyelesaikannya, atau adakah ia tak akan selesai masih menjadi harapan semua orang. Demikian juga keadaan dalam negara sekarang. Tetapi, saya tidak menyebutkan dengan jelas atau merujuk tepat kepada sesiapa,” jelas Kamarul.

 

Turut menjayakan Batu Belah ialah penyanyi dan pelakon Zack Kool sebagai penampilan khas yang memegang watak Tengku Zulkefli. Menariknya, Zack turut mendendangkan lagu tema Batu Belah dalam sebuah babak bersama-sama Bendahara, lakonan Kamarul.

 

“Genre tersebut lebih memberikan kebebasan kepada Hidayah untuk berkreatif,” jelas Yusry pula mengenai kenapa purbawara, dan bukan bangsawan yang mirip dengannya.

 

“Dengan purbawara, kami tidak akan terikat sebagaimana yang perlu dihadapi jika menghasilkan bangsawan. Banyak hal perlu difikirkan, terutamanya kos jika menampilkan penyanyi extra-turn sebagai ‘syarat’ peralihan babak ke babak,” tambah beliau.

                                                                                




                           Babak sabung ayam yang dibuat secara lakonan simbolik. 


Selain beberapa penyanyi extra-turn, antara ciri bangsawan ialah penampilan prop dan kostum yang berwarna-warni serta gilang-gemilang.

 

Dengan demikian, babak Tengku Zulkefli menyanyi di samping Bendahara dalam Batu Belah ini tidaklah janggal, salah, dan perlu dipertikai.

 

Batu Belah mengisahkan sebuah keluarga yang papa kedana. Si ayah telah meninggal dunia, sementara si ibu pula merajuk lari hingga ditelan batu yang terbelah.

 

Akhirnya, si kakak, Melor (ketika kecil, lakonan Dhaniyah) dan adiknya, Pekan (Yamin Hanif) pergi ke Desa Kerayong, dan dipelihara oleh seorang nenek, Nenek Kerayong (Siti Sarah) hingga dewasa (Melor dewasa dilakonkan oleh Dayang Narinah).

 

Setelah menjadi pemuda, Pekan (Pangiran Aduka) memiliki seekor ayam jantan. Dia kemudian naik bertakhta menjadi Raja Muda, dan berkahwin dengan seorang puteri jelita, Puteri Mayang Mengurai (Melissa Kelvin).

 

Walau bagaimanapun, dalam dunia yang sementara dan dipinjamkan Allah SWT ini, memang ada pihak yang hasad dengki dan tamak. Mereka merosakkan kestabilan sesebuah negeri. Dalam Batu Belah, watak itu ialah Datuk Hitam Perkasa (Md Hussin).

 

Bagaimana mungkin dapat diyakinkan segala yang buruk ada titik noktahnya? Lantas, Batu Belah mengajak semua kanak-kanak, remaja, para pemimpin keluarga dan pemimpin negara mengambil pengajaran menerusi kisah suka dan duka ini.

 

Watak lain dalam teater purbawara ini termasuklah Selamat, lakonan Hazzley, Kidam (Shahril Kamil), Waspada Jingga (Dean Sitara), Kesuma (Bella Zulkefli), Bentara (Nazri Ahmad), pengikut-pengikut Datuk Hitam Perkasa (Nazli, Muazzam, Amil), pengawal (Zuree, Abu), dan dayang-dayang (Elysha, Shahira, Radifa, Erina).

 

Batu Belah turut diserikan oleh Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai Sultan, serta penampilan khas Lan Zailan (Nujum), dan Rosli Rahman Adam (Dandang Bistari).       

     

Batu Belah telah dipentaskan di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur bermula jam 8.45 malam pada 11 dan 12 Ogos, serta 2.45 petang, 13 Ogos lalu. Bayaran masuk RM25 seorang, dan setiap pembeli tiket berpeluang menyertai acara cabutan bertuah.

 

Secara keseluruhannya dan peribadi, saya menyukai persembahan Batu Belah. Saya tidak berasa sia-sia dan membuang masa menontonnya yang berdurasi kira-kira 90 minit.

 

Selain beberapa perkara yang boleh diambil sebagai pengajaran atau falsafah, saya turut menganggap mutu lakonan menjadi sebab persembahan Batu Belah menarik.

 

Pangiran, Melissa, Siti Sarah, Dayang, lebih-lebih lagi Hazzley dan Md Hussin berjaya menghidupkan watak masing-masing. Para pelakon lain dengan watak pembantu mereka juga tidak menghampakan.   

 

Dengan bersahaja tanpa berlebih-lebihan, Pangiran dan Melissa berjaya mewujudkan suasana romantik semasa watak mereka, iaitu Pekan dan Puteri memadu kasih.

 


       Penampilan khas Rosli Rahman Adam (tengah) sebagai Dandang Bistari.


                                             Dean Sitara (kanan) sebagai Waspada Jingga.


               Hazzley (kanan) sebagai Selamat dan Dayang Norinah (Melor).


                

      Pangiran Aduka sesuai sebagai Pekan kerana kacak dan mampu beraksi tangkas.




Siti Sarah (kanan) beraksi baik sebagai Nenek Kerayong.



Kamarul AR (tengah) sebagai Bendahara di samping Rosli Rahman Adam, dan Dean Sitara (kanan).


Hazzley (kanan) dilihat sangat berjaya sebagai Selamat, watak sidekick Pekan yang komikal – kelakar dan kadang-kadang tegas. 


Dalam kebanyakan drama, teater dan filem, watak lucu seperti Selamat memang tidak boleh ditiadakan. Fungsinya sebagai pereda ketegangan atau menghiburkan pada ketika-ketika tertentu.

 

Tidak keterlaluan dikatakan watak antagonis, Hitam Perkasa seolah-olah memang khusus untuk Md Hussin. Beliau kelihatan begitu yakin, dan selesa membawakannya.

 

Demikian juga dengan Siti Sarah sebagai Nenek Kerayong yang tegas dalam penyayang, dan penyayang dalam tegas memelihara cucu-cucu angkat.

 

Dayang sebagai Melor berjaya menarik minat penonton sedikit sebanyak menyelami/memahami emosinya yang terus rasa bersalah terhadap ibunya, dan menahan cinta terhadap Selamat selagi Pekan belum berumah tangga – isu yang difahami Nenek Kerayong.

 

Penampilan Zack Kool walaupun tidak banyak, dapat juga menebus rasa terkilan kerana ketiadaan Roslan Masdun lantaran masalah kesihatan dengan gerak lakon, dan lontaran suara merdu sewaktu menyanyi.

 

Faktor lain adalah koreografi pertarungan yang menarik, dan mendebarkan. Para penonton menjerit kengerian beberapa kali, sama seperti mereka ketawa menyaksikan aksi jenaka Selamat.

 


                                      Penampilan khas Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai Sultan.


Melihat ayam Sultan, Pekan dan Hitam timbul juga pertanyaan bagaimana babak persabungan akan diadakan. Walau bagaimanapun, tiada rasa kecewa meskipun persabungan itu hanya dipaparkan secara simbolik oleh dua pelakon.


                             Datuk Hitam Perkasa bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya.

___________________________________________________________________________________


Itu malah menunjukkan daya kreatif pengarah yang ‘di luar kotak’. Saya anggap sedemikian kerana 
mustahil meminta ayam berlakon babak persabungan (pertarungan) seperti manusia. Tentu huru-hara yang timbul, dan mengganggu pementasan.

 

Itu antara unsur kekaguman yang ada dalam Batu Belah. Satu lagi ialah kesan khas untuk kemunculan batu belah. Tidaklah begitu hebat, tetapi tetap membekas, dan mengagumkan.

 

Secara tidak langsung juga ia mengingatkan bahawa jika menghadapi masalah, pulanglah kepada puncanya. Babak tersebut memaparkan kaedah penyembuhan Pekan dan Puteri yang sakit akibat perbuatan menggunakan ilmu hitam oleh Hitam Perkasa.

 






      Kesan khas untuk batu belah batu bertangkup amat menarik perhatian penonton.

___________________________________________________________________________________          





                    Babak-babak membabitkan Pekan dan Selamat yang bersahabat sejak kecil.


Seperkara lagi yang menarik ialah kemunculan semula Melor dan Pekan – yang meluru ke batu belah sambil menyeru ibu mereka semasa kanak-kanak, yang sepatutnya menjadi antara babak awal Batu Belah.

 

Namun demikian, itu juga satu kejutan yang memang tidak dijangka langsung oleh penonton. Babak itu turut memberitahu penonton bahawa ibu Melor dan Pekan telah berpesan kepada mereka agar kembali kepadanya memohon bantuan.

 

Ia juga memberikan peringatan supaya kita jangan cepat membuat kesimpulan sebelum mengetahui atau melihat semua. Lihatlah sepenuhnya. Jangan tidak habis atau hanya separuh.

 

No comments:

Powered by Blogger.