PENDIDIKAN

 

PPIM Gesa Siasatan 3R

PENGAJIAN 40 HADIS

 

ANTARA isu kontroversi yang melanda negara baru-baru ini adalah keputusan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu melaksanakan pembelajaran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dalam kalangan pelajar sekolah menengah tertentu.

 

KPM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan, dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

 

Walaupun pelaksanaan modul itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja dengan tujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang, dan memperkasakan kefahaman agama, tetapi pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan, terutama pertubuhan bukan kerajaan, dan wakil masyarakat bukan Islam yang tiada kaitan dengan pengajian Islam, atau agama Islam.


                                                          Gambar hiasan


Antara yang paling kuat menyatakan penentangan ialah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), menerusi Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, meskipun kemudian seperti membuat ‘pusingan U’.

                                                     

                       Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai - gambar hiasan


Pada 28 Ogos lalu, Datuk Dr Dominic menegaskan usaha mengajar modul penghayatan hadis tersebut boleh dilaksanakan selagi ia hanya diperkenal pada peringkat sekolah agama Islam, dan tidak sesekali diperluas kepada pelajar bukan Islam.

 

“Gerakan  berharap KPM berpegang pada kenyataan menterinya, YB Fadhlina Sidek, dan memberi jaminan tidak memperluas kepada pelajar bukan Islam,” kata Dominic.

 

Walau bagaimanapun, persatuan yang sentiasa peka dengan isu-isu membabitkan umat Islam di negara ini, iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat semua kenyataan media mengenai isu pengajian 40 hadis yang kian melampau.

 

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan@Toqqi dalam satu kenyataan pada 29 Ogos, berkata pihaknya akan membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

 

“Agama Islam adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Pendidikan Islam untuk pelajar beragama Islam adalah hak umat Islam. Justeru, tindakan pihak bukan Islam masuk campur urusan agama Islam dalam negara ini sudah melampau,” tegas Datuk Nadzim.


                                        

                                      Datuk Nadzim Johan@Toqqi (kiri) - Gambar hiasan


Tambah beliau, apakah mana-mana pihak yang menentang pelaksanaan modul Hadis 40 ini telah meneliti kesemua kandungannya, dan mendapati ia boleh mengancam kesejahteraan orang bukan Islam?

 

“Arahan supaya semua pihak mengelakkan menyebar kandungan berbaur kebencian membabitkan 3R (race, religion, royalty) bukan hanya termaktub pada politik, malah seluruhnya,” jelas beliau.

 

“Jangan fikir kami akan berdiam diri. Siapa mereka mahu meletakkan syarat, dan mengugut sekiranya pengajian 40 hadis diteruskan? Jika mereka berasa mereka betul, mari berdepan dengan kami,” tegas Toqqi lagi.

 

No comments:

Powered by Blogger.