MUZIK

 

LAH AHMAD JATUH CINTA DI ISTANA BUDAYA

 

PADA 13 September lalu telah berlangsung sidang media konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta – At Istana Budaya di Hotel Ideas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

 

Konsert yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 7 Oktober 2023 bermula jam 8.30 malam tersebut anjuran bersama Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd (Rubbertapper), IB dan Universiti Malaya (UM).

 

Selain Lah Ahmad, turut hadir adalah Penerbit Rubbertapper, Qaseh Anita Abd Shukor; Pengarah Persembahan dari SSD Projects, Ahmad Ariffin Ahmad; Dato’ Haji Reduan Yusof, serta beberapa pegawai dari IB dan UM.

Dato’ Haji Reduan juga adalah Pengarah Projek konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta – Live at Istana Budaya.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&


Lah Ahmad (lima dari kanan) bersama-sama Qaseh Anita Abd Shukor, Ahmad Ariffin Ahmad, serta beberapa tenaga penting konsert selepas sidang media.
___________________________________________________________________________________

 Menurut Lah, di sepanjang durasi dua jam, beliau akan menghiburkan peminat dengan dendangan kira-kira 21 lagu.

 

“Saya juga akan membuat kejutan dengan menjemput beberapa penyanyi undangan. Konsert saya ini akan turut menampilkan kelainan apabila bergabung dengan Orkestra Simfoni UM di bawah pimpinan Profesor Dr Hanafi Husin, merangkap Dekan Fakulti Seni Kreatif, UM,” jelas Lah, mantan penyanyi kumpulan V.E.

                                      

Lah Ahmad semasa sesi soal jawab sidang media konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta – Live at Istana Budaya pada 13 September lalu bersama-sama Ahmad Ariffin Ahmad (kiri), dan Qaseh Anita Abd Shukor (kanan).

                                        

Tambah Lah, sebagaimana muziknya yang ditampilkan dalam showcase dan persembahan lain selepas V.E, beliau akan meneruskan nada bertema kasih sayang, cinta dan kemanusiaan berlandaskan agama Islam.

 

“Menjelang tarikh 7 Oktober nanti, saya berharap para peminat segera mendapatkan tiket-tiket menerusi www.ilassotickets.com,” katanya yang memberitahu antara sebab konsert hanya satu malam sahaja ialah agar para peminat tidak bertangguh-tangguh untuk menonton.

 

Seperkara yang menarik dan signifikan, konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta – Live at Istana Budaya merupakan pementasan terakhir di IB sebelum pentas gah tersebut ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf selama dua tahun.

 

Sementara itu, Qaseh Anita menjelaskan pemilihan Lah berdasarkan keupayaannya memberikan persembahan secara langsung, dengan jiwa yang sentiasa memberikan persembahan terbaik kepada peminat.

 

“Hakikat ini diperkuat oleh fakta sejarah dan pengalaman lebih 25 tahun Lah dalam industri seni suara tanah air dengan bermula sebagai penyanyi kumpulan V.E. Selain dalam irama R&B, Lah juga mampu membawakan pelbagai genre muzik dengan baik,” tambah Qaseh.

 

Ia juga sukar atau tidak boleh dipertikai kerana Lah pernah memenangi Persembahan Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-22.

 

Di sepanjang pembabitan Lah dalam industri seni tanah air, beliau telah muncul dengan empat album. Antara lagu popular termasuklah Sempurna dan Terbaik, Adinda, Kerna Sayang, dan Ayu. Ayu turut dijadikan antara nama untuk tiket konsert beliau.

 

Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta – Live at Istana Budaya akan diketuai pemuzik OTM IB, Muhammad Shahwalnaz Hussin selaku pengarah muzik.

 

Panggung Sari, IB dipilih kerana sesuai dengan konsep persembahan konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta ini yang berskala besar, serta bertaraf antarabangsa, dan berprestij,” ujar Qaseh lagi.

                                        

 Sebagai syarikat pengurusan majlis, pengurusan artis, pengendalian penaja dan pemasaran serta video korporat, Rubbertapper menjadi sebuah syarikat produksi bermula pada 2015.

 

Tiga tahun kemudian, Rubbertapper mengembangkan lagi perkhidmatan perniagaannya apabila menjadi syarikat pembekal program TV tempatan, dan juga antarabangsa, serta penyewaan peralatan penggambaran televisyen.

 

Rubbertapper diterajui Qaseh sendiri yang berpengalaman sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) syarikat perhotelan antarabangsa, kemudian memulakan langkah dalam industri ini juga sebagai PRO di beberapa syarikat penerbitan.

 

Anita juga aktif dalam beberapa pementasan konsert dan teater di IB sebelum ini sebagai pegawai pemasaran, dan juga pengarah projek.

 

Dengan pengalaman tersebut, Anita dan Rubbertapper penuh yakin buat julung kali menganjurkan konsert di IB, serta memilih Lah sebagai penyanyi utamanya.

                                                                                                                       

Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta – Live at Istana Budaya merupakan pementasan terakhir di Istana Budaya sebelum pentas gah tersebut ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf selama dua tahun.


No comments:

Powered by Blogger.