FLORA FAUNA
ZOO NEGARA SUDAH MATANG, ENAM DEKAD!
SELUAS kira-kira 63 hektar, Zoo Negara merupakan sebuah taman zoologi terbesar, dan terkemuka di Malaysia. Ia kaya dengan kepelbagaian spesies merangkumi tujuh keunikan flora dan fauna, iaitu mamalia, burung, reptilia, amfibia, serangga dan ikan.
Zoo Negara dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 14 November 1963, dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu (yang pertama), Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
Jika mengikut tarikh sebenar, sudah lebih sedikit daripada 60 tahun. Walau bagaimanapun, majlis sambutan ulang tahun pada 27 Januari lalu masih relevan, kerana tidak terlalu jauh daripada tarikh. Ia masih dalam mood memperingat enam dekad dedikasi Zoo Negara terhadap usaha konservasi hidupan liar, pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar.
Jumlah koleksi hidupan liar di Zoo Negara terdiri daripada 306 spesies, berjumlah 3,586 ekor. Di sepanjang 60 tahun, Zoo Negara telah berkembang pesat dengan pembangunan infrastruktur yang kondusif, dan mesra pelawat.
Perasmian majlis sambutan yang berlangsung di Dataran Dato’ Ismail Hutson, disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zoo Negara berbesar hati dan berterima
kasih kepada penaja utama majlis ini, iaitu Adabi Consumer Industries Sdn Bhd,
yang menaja wang tunai berjumlah RM100,000, dan sajian makanan, serta minuman
bagi 1,000 pengunjung yang hadir.
Kemeriahan sambutan turut diserikan
dengan buah tangan istimewa yang ditaja oleh Habib Jewels Sdn Bhd, iaitu
kemasukan percuma untuk kanak-kanak berumur tiga sehingga 12 tahun.
Kanak-kanak tersebut turut menerima
kipas tangan gajah, tajaan Hyperack Sdn Bhd, dan buku mewarna Zoo Negara,
tajaan Pelangi Publishing Group Berhad.
Menariknya, Zoo Negara yang terletak
hanya kira-kira 5 kilometer dari Kuala Lumpur ini, turut memberi hadiah
kemasukan percuma kepada warga emas berusia 60 tahun, dan ke atas sebagai
simbolik ulang tahun ke-60, sebagai penambah kemeriahan.
Habib
Jewels turut melancarkan edisi kedua enam keping wafer syiling emas 999.9 (0.20
gram), iaitu Raja Cheetah, Panda Gergasi, Harimau Bengal Putih, Burung Kuang
Emas, Singa Afrika, dan Zirafah bersempena dengan ulang tahun ini.
Orang
ramai berpeluang membeli koleksi wafer syiling emas ini di semua cawangan Habib
Jewels. Kek sambutan ulang tahun ke-60 Zoo Negara ditaja oleh Secret Recipe
Cakes and Café Sdn Bhd.
Antara
penaja lain yang turut menjayakan termasuklah Jabatan Perkhidmatan Makmal
Diagnostik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd,
Kyoto Enterprise, Radium Development Berhad, Malaysian Palm Oil Green
Conservation Foundation, dan Loke’s Ice Cream Sdn Bhd.
Pengisian
program diselitkan dengan penghargaan kepada para penaja yang menaja RM50,000
ke atas melalui penyampaian replika cek, disaksikan oleh Dato’ Seri Anwar.
Penaja-penaja
tersebut ialah Yayasan Sime Darby, Malaysian Palm Oil Green Conservation
Foundation, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Habib Jewels Sdn Bhd, Sime Darby
Oils, UEM Edgenta Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad,
Ditrolic Energy Sdn Bhd, disokong oleh Huawei Malaysia, dan Hadramawt Kitchen.
Sijil
penghargaan kategori perkhidmatan diberikan kepada Majlis Perbandaran Ampang
Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, dan Jabatan
Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
“Sehingga hari ini kita berjaya
membuat proses pembiakan haiwan spesies terancam, seperti harimau Malaya dan
tapir. Pada masa sama, kami menerima dua ekor harimau dari pusat konservasi
harimau Malaya dari Zoo Melaka,” ujar Datuk Rosly.
Tambah beliau, kejayaan signifikan
Zoo Negara yang lain adalah diiktiraf oleh kerajaan China sebagai antara
penjaga panda gergasi terbaik dunia.
“Ia susulan kejayaan melaksanakan
usaha konservasi haiwan tersebut sejak 2014 menerusi pasangan panda Xing Xing
dan Liang Liang,” katanya lagi.
Xing Xing dan Liang Liang melahirkan
tiga anak, iaitu Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018), dan Sheng Yi
(30 Mei 2021).
“Berikutan perjanjian program
pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa
antara Malaysia-China, Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017, manakala
Yi Yi dan Sheng Yi telah dihantar pulang pada Ogos 2023,” jelas Rosly.
Tambah beliau, sambutan juga
diadakan bersempena dengan memperingati enam dekad dedikasi Zoo Negara terhadap
usaha konservasi hidupan liar, pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang alam
sekitar.
Sementara itu, dalam ucapan beliau,
Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pembangunan Zoo
Negara.
“Zoo Negara juga menerima dana
tambahan menerusi program tanggungjawab sosial korporat atau CSR oleh beberapa
syarikat, dan berjaya mengumpul jumlah sebanyak RM5 juta,” tambah beliau sambil
mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat besar di negara ini kerana
banyak memberi dukungan melalui CSR, bagi kejayaan pemuliharaan dan juga
pengawalan umum di Zoo Negara.
Tegas Anwar, jumlah RM10 juta ini membolehkan
kita mengawal, serta mengadakan wakil daripada Menteri Besar Selangor dan
kerajaan supaya dapat bekerjasama dengan jawatankuasa yayasan Zoo Negara, agar
kita dapat membaiki perancangan, dan projek di Zoo Negara.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin
Shari.
Dalam pada itu, Anwar turut
mencadangkan kepada Zoo Negara supaya mewujudkan satu ruang khas yang dinamakan
sudut Madani.
“Saya harap dapat satu sudut yang
indah dan khusus untuk mengangkat martabat Zoo Negara, dengan sudut khas
Madani.
“Galakkan ibu bapa, dan guru-guru memberi
tumpuan apabila anak-anak melawat bersama-sama penerangan, lantas menjadikan Zoo Negara ini medan
pendidikan,” ujarnya yang memberi peringatan bahawa di samping menjaga
kebajikan-hubungan baik sesama manusia, manusia juga harus memiliki rasa sayang
kepada haiwan.
Anwar yang memuji kesungguhan dan
keprihatinan Rosly, serta warga Zoo Negara menunaikan amanah, turut menyentuh
soal anjakan paradigm, apabila mencadangkan penyediaan buku kecil, dan pena
untuk para pengunjung mencatat maklumat berguna.
“Saya fikir buku kecil dan pena itu
amat berguna bagi para pengunjung, terutama kanak-kanak untuk mencatat maklumat
penting, kerana mungkin sukar mengingati kesemua jika hanya mendengar,” jelas Perdana
Menteri.
-
RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: