Keratan tulisan saya yang melaporkan acara Kempen Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Pusat Beli-belah pada 16 Julai 1994, di Plaza Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

                                                                    

=========================================================================


KEBAHASAAN 


Pusat Beli-belah Sisihkan Bahasa Melayu

 

SEJAK sekian lama sesuatu usaha yang menggalakkan dan membawa ke arah kebaikan di negara kita didokong oleh penganjuran kempen. Ia bukan lagi perkara asing kerana kita kerap menemui pelbagai kempen diadakan dari semasa ke semasa.

 

Antara kempen yang di sepanjang ingatan saya telah lama tidak diadakan, dan justeru itu amat wajar dianjurkan semula adalah kempen penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu di pusat beli-belah.

 

Kempen yang masih diingati dan pasti kerana saya turut menghadiri, serta membuat liputan mengenainya adalah Kempen Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Pusat Beli-belah pada 16 Julai 1994, di Plaza Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Saya sentiasa mengenangnya walaupun tiga dekad telah berlalu.

 

Berita mengenai acara itu yang saya tulis disiarkan dalam tabloid terkenal (tetapi, telah lama “berkubur”), iaitu Bacaria bertarikh 4 Ogos 1994.

 

Sebenarnya, kehadiran saya di Plaza Bukit Bintang itu sebagai memenuhi permintaan rakan wartawan tabloid berkenaan untuk menggantikannya membuat liputan Acara Baca Puisi bersempena dengan Kempen Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Pusat Beli-belah, anjuran Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

 

Selain kerana soal bahasa kebangsaan, sebab utama juga adalah acara berkenaan menampilkan penyair terkenal Lim Swee Tin dan Zurinah Hassan, serta pelakon popular Ahmad Busu (Allahyarham); dan penyanyi lagu puisi, Julfekar Ahmad Shah (kini tidak lagi aktif) dengan Sabri Yunus sebagai pengacara.

 

Memang acara tersebut mendapat sambutan ramai, terutama kerana celoteh dan aksi lucu Sabri yang juga pelakon terkenal itu. Walau bagaimanapun, seingat saya ia tiada kesinambungan, dan tidak berterusan.

 

Begitu pun, tahniah diucapkan kepada KALAM atas usaha tersebut, dan terima kasih DBP kerana menyokongnya. Tidak mengapa jika KALAM gagal meneruskannya. Barangkali ada sebab-sebab tertentu, ataupun mahu memberikan peluang kepada persatuan penulis lain.

 

Jika mengikut kewarasan dan kewajaran, persatuan penulis memang paling sesuai dan layak memikirkan soal kebahasaan ini, kerana sebab-sebab yang kita semua maklum.

 

Namun begitu, bukan persatuan penulis sahaja yang sesuai menggerakkan usaha sedemikian. Semua pihak yang (perlu) ada kesedaran mengenai pemartabatan bahasa Melayu di mana-mana pun juga sesuai tampil.

 

Pihak DBP juga sesuai, kerana ia adalah agensi kerajaan yang amat berkaitan dengan soal kebahasaan, serta biasa menyantuni dan disantuni semua persatuan penulis yang ada di negara kita. 

 

Jika benar telah lama tiada, saya fikir ia wajar diadakan semula kerana keadaan bahasa Melayu di pusat beli-belah semakin tenat, dan membimbangkan. Memasuki pusat beli-belah di mana-mana pun sekarang ini seolah-olah berada di pusat beli-belah luar negara. Nama kedai pada papan tanda atau acara pada kain perentang - termasuk kempen, terpampang dalam bahasa Inggeris atau bahasa asing lain.

 

Di mana bahasa Melayu? Adakah menghilang kerana kempen penggunaan bahasa Melayu di pusat beli-belah tidak diteruskan? Mengapakah ia tidak diadakan lagi? Tidak penting, atau tiada peruntukan?

 

Kalau tidak penting, mengapa ia diadakan sebelum ini? Adakah penganjurannya satu kesilapan, dan justeru itu tidak wajar diteruskan?

 

Barangkali ada yang bertanya apa perlunya memartabatkan bahasa Melayu di pusat beli-belah. Bukankah, kata mereka, ramai pelancong luar negara turut mengunjungi pusat beli-belah, dan jika hanya bahasa Melayu yang terpampang, mereka tidak faham. Sukarlah jadinya kalau begitu.

 

Kalau sedemikian alasan mereka, alangkah lucu dan tidak masuk akal. Mengapa kita mahu mengalah dengan keadaan tersebut? Cuba lihat keadaan di dalam pusat beli-belah negara luar yang bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi, atau kebangsaannya.

 

Adakah bahasa yang memenuhi pusat beli-belah itu bahasa kebangsaan atau bahasa asing, apatah lagi bahasa Melayu? Jika lebih banyak bahasa kebangsaan mereka, itu tandanya mereka menghargai bahasa negara sendiri.

 

Namun demikian, bukan menjadi masalah kita jika bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang diutamakan. Itu adalah masalah mereka yang lebih mengutamakan bahasa asing.

 

Tentulah negara kita tidak wajar meneladaninya. Kita mesti tegas dan teguh dengan jati diri. Andainya mahu juga menggunakan bahasa Inggeris demi kemudahan pelancong negara luar, paparkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu (dengan ukuran lebih besar) dan bahasa Inggeris. Itu lebih bijaksana.

 

Sebab lain ialah bahasa kebangsaan negara kita adalah bahasa Melayu. Tidak menjadi masalah kalau bahasa kebangsaan adalah bahasa Inggeris, dan saya pun tidak menulis rencana ini.

 

Kini, bukan boleh atau tidak boleh, tetapi mahu atau sebaliknya memartabatkan bahasa Melayu di pusat beli-belah. Perlu diingati, kalau lebih lambat kempen diadakan, akan lebih parah kedudukan bahasa Melayu di tempat tersebut!    

    

- Raja Yusoff Ariffin 




No comments:

Powered by Blogger.