==================================================================================================================================================

Filem Oppa Membela Mangsa Penipuan Cinta

KITA LAWAN SCAMMER!  

 

AKTOR Korea, Theo Jang memberitahu beliau menerima tawaran membintangi filem Oppa kerana mahu mencuba watak yang berbeza dengan yang pernah dilakonkannya dalam filem, dan drama televisyen sebelum ini.

 

Saya gembira membintangi filem pertama lakonan saya yang diterbitkan di Malaysia ini, dan berharap ia mendapat sambutan hangat,” katanya yang gemar makan nasi lemak di sepanjang kira-kira 30 hari menjalani penggambaran.

 

Theo yang setakat ini telah membintangi tujuh filem di Korea sejak 2016, berkata sedemikian semasa menghadiri majlis Malam Gala Oppa di Dadi Cinema Pavilion KL, Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.

 

Dalam filem arahan Captain Denil yang diterbitkan oleh Dream Film Sdn Bhd itu, beliau memegang watak Oppa, seorang penipu cinta atas talian dari Korea.

                                                    

                   Theo Jang gembira membintangi filem pertamanya di Malaysia, Oppa.

==================================================================================================================================================

Mangsa Oppa, iaitu seorang guru sekolah rendah, Cikgu Tien, dilakonkan oleh Jacqueline Goh Wan Yi. Tien ada seorang rakan karib, Amanda (Amanda Tan Pei Fern).

 

Menurut Jacqueline, beliau suka memegang watak Tien kerana ada pengalaman sendiri walaupun tidak setenat (‘gila bayang’) yang dihadapi watak cikgu tersebut. Katanya, beberapa rakan yang menjadi mangsa penipuan cinta turut menarik minatnya untuk membintangi Oppa.

 

“Jadi, saya ada bahan rujukan, iaitu bertanya kepada mereka untuk membawakan watak mangsa tersebut dengan mendalam, dan berkesan,” katanya yang bersetuju apabila dikatakan beliau mampu berlakon dengan lebih baik.

    

Jacqueline Goh Wan Yi (kiri) bersama-sama Theo Jang dari Korea, pelakon utama Oppa.

==================================================================================================================================================

Selain Theo, Jacqueline, Amanda, dan Denil, turut hadir Sri Ganesh Shanmuganathan (Ganesh), Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, ASP Rahmat Fitri Abdullah selaku penasihat produksi/pelakon tambahan, Supt Mohd Faizal Zainal, ACP Lee Ching, dan penyanyi lagu tema Oppa, Cloe Eu Sze Chuen.

 

Turut membintangi Oppa termasuklah Lee Zi Qi (Lee Qi), Sadiq M Jamil (Sadiq/ketua sindiket scammer), Chen Kuoyang (Boss), Jack Wong Soon Kiat (Jack), Laviniya Naidu Surianarayanan (Cikgu Lavi), Maria Francisca Martinus (Cikgu Maria), Low Chia Sing (Encik Chow), Yee Lik Chin (Orange), dan ASP Mohd Yusri Abdullah (diri mereka sendiri).

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf turut muncul dalam adegan awal Oppa.

 

Kes membabitkan jenayah scam memang cukup serius sehingga mangsa ditipu, dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit yang bukan sedikit.

 

Sehubungan itu, ia mencetuskan idea kepada Dream Film Sdn Bhd untuk menghasilkan Oppa. Menurut Denil, Oppa merupakan filem mengenai jenayah penipuan cinta (love scam) yang sering berlaku dalam segelintir masyarakat sekarang.

 

Beliau mengakui kadang-kadang hairan kerana ada mangsa jenayah ini daripada golongan terpelajar.

 

“Barangkali kerana kurang kesedaran. Jadi, ia memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan Oppa. Setidak-tidaknya saya boleh menyampaikan pesanan kepada masyarakat,” tambah Denil.

                                          

Pengarah Captain Denil (belakang lapan dari kanan) bersaama-sama Theo Jang dan Jacqueline Goh Wan Yi, serta beberapa pelakon lain, dan tenaga penting filem Oppa pada Malam Gala Oppa pada 9 Mei lalu.

==================================================================================================================================================

Oppa membawa kisah Cikgu Tien yang bercinta dengan seorang jejaka Korea yang dipanggil Oppa, tetapi mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya (yang sebenarnya tidak wujud) itu tiba-tiba menghilangkan diri.

 

Pada satu malam, Tien terdengar perbualan Oppa menerusi telefon, dan dimaklumkan bahawa ibu kekasihnya itu sakit tenat, dan dia perlu pulang menziarah dengan segera.

 

Tien memberikan Oppa sejumlah wang yang banyak untuk memudahkan kekasihnya itu pulang mengurus ibu. Oppa pula berjanji akan mengahwini Tien sebaik sahaja ibunya sembuh.

 

Walau bagaimanapun, Tien langsung tidak menerima sebarang perkhabaran daripada Oppa sehingga menimbulkan kerisauan, dan tumpuan untuk mengajar hilang.

 

Kemudian, pengawal keselamatan (Jack Ling Sing Kong) di sekolah Tien terjumpa banyak poster di kawasan kaki lima sekolah memaparkan nama, dan wajah Tien yang mendakwa dirinya penipu besar, kerana enggan membayar hutang ah long.

 

Tien pula semakin berada dalam tekanan apabila Oppa menghilangkan diri. Lebih malang, guru tersebut turut menjadi buruan sindiket ah long apabila dia meminjam wang daripada mereka, semata-mata untuk diberikan kepada kekasihnya itu, Oppa.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                                                                                                 

                        Penyanyi lagu tema filem Oppa, Cloe Eu Sze Chuen.

==================================================================================================================================================

Jelas Denil, judul Oppa dipilih bukan semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi pernah berlaku kejadian individu menggunakan gambar artis kacak Korea untuk mempedayakan mangsa menerusi dating apps di media sosial.

 

Jalan cerita yang dipaparkan adalah adaptasi kisah sebenar yang pernah berlaku, berdasarkan laporan kepada pihak polis,” tambah beliau.

 

Kata Denil lagi, pihaknya mendapat kerjasama PDRM untuk menghasilkan Oppa, dan yang menariknya terdapat kira-kira 80 anggota polis sebenar turut terlibat menjadi pelakon.

 

ACP Lee Ching yang juga penolong ketua pengarah bertindak sebagai pengarah projek yang banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis, agar kerja-kerja penggambaran berjalan lancar,” tambah beliau.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                 

                        Filem jenayah penipuan cinta yang pertama di Malaysia.

==================================================================================================================================================

Denil turut mengakui kesukaran mencari penaja dan pelabur untuk menerbitkan Oppa ternyata memberikan cabaran tersendiri untuk dirinya. Pada peringkat awal pembikinan, tidak ramai yang berminat untuk melabur kerana Oppa bukanlah filem komersial, tetapi lebih kepada memberikan kesedaran, dan berbeza dengan filem komersial.

 

Tapi, masalah ini langsung tidak melemahkan semangat,” jelas beliau yang lega dan berterima kasih kepada yang sudi melabur.

 

Justeru mengangkat isu yang penting untuk manfaat semua, Denil memang mengharapkan Oppa dapat memberikan kesan kepada kesan baik kepada para penonton.

 

“Paling penting, mereka yang menonton Oppa akan sedar tentang kebahayaan jenayah love scam yang semakin kerap berlaku. Sekurang-kurangnya, cerita yang dipaparkan boleh menjadi pengajaran agar tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini,” tambah beliau.

 

Denil yang nama penuhnya, Denil Choon Lin Loong memberitahu, skrip Oppa telah diolah beberapa kali agar tidak berbentuk dokumentari sebaliknya menjadi satu filem yang menarik.

 

Menurutnya, pelakon dalam kalangan pegawai polis turut memberikan kerjasama sangat baik. Cuma, pihaknya perlu memberi penerangan lebih kerana mereka tidak biasa dengan dunia lakonan.

 

“Saya juga dapat belajar bagaimana cara polis membuat tangkapan yang sebenarnya, dan kita berbincang bersama-sana untuk mengetahui modus operandi, sertam aklumat sebenar,” tambah Denil, sambil memberitahu Oppa sepatutnya ditayangkan pada Ogos atau September 2023, tetapi jadual tayangan di pawagam penuh kerana banyak filem menunggu untuk ditayangkan selepas pandemik COVID-19.

 

ASP Rahmat pula menjelaskan bahawa Oppa tidak akan/bertujuan mengajar para scammer beroperasi, dan maklumat mengenai gerakan pihak berkuasa, sebagai menjawab mengapa filem ini tidak terlalu menekankan siasasat pihak polis.

 

Oppa juga unik kerana menghimpunkan pelakon dari pelbagai kaum, dan menggunakan beberapa bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina, India, Korea dan dialek.

 

Ditekankan sebagai filem jenayah love scam pertama di Malaysia, Oppa yang berdurasi 90 minit dan menelan kos RM1 juta ini memulakan tayangan di 60 pawagam pada 9 Mei lalu.

 

Tema atau isu yang dibawakan oleh Oppa amat bermanfaat kepada masyarakat. Justeru, ia wajar mendapat sambutan hangat hingga mampu bertahan lama di pawagam.

 

Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang ini menjanjikan elemen kejutan, selain memberi kesedaran kepada penonton mengenai sindiket penipuan love scam.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN




No comments:

Powered by Blogger.