SUKAN
Cabaran 8 Blackball Piala Super 2024 Tawarkan Hadiah RM55,000
HAMPIR 210 pemain ‘bola tonjol’ kini menunggu waktu untuk memeriahkan ‘gelanggang hijau lembut’ apabila bersaing merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM55,000 dalam Cabaran 8 Blackball Piala Super 2024, yang dijadualkan bermula pada 16 Mei ini.
Penampilan pelbagai bakat, dari 26 pasukan, termasuk yang hanya diwakili wanita sahaja, akan beraksi dalam edisi kedua kejohanan yang mencabar ini, mewakili pelbagai persatuan, kelab dan pub di seluruh Lembah Kelang. Kesemuanya menjanjikan persembahan yang memikat selama kira-kira 120 hari.
Dianjurkan oleh Pengurusan Acara dan Sukan, Kelab Sukan SAM (KSS), kejohanan selama empat bulan ini diadakan sebagai platform yang dinamik untuk para pemain menunjukkan kemahiran masing-masing.
Mengulas kejohanan ini, Rakan Pengurusan Acara dan Sukan/Ketua Operasi KSS, Encik Sam Sathishkumar mengatakan matlamat utama pihaknya adalah menyediakan peluang keemasan, dan jalan yang mencabar para pemain untuk menonjolkan, dan memupuk bakat mereka untuk negara.
Seperkara kontroversi yang telah berlarutan sekian lama mengenai sukan ‘bola tonjol’ ini ialah ia dikaitkan dengan kegiatan tidak sihat, seperti samseng dan pengedaran dadah.
“Kami sedar, dan sedang berusaha mengikis segala tanggapan negatif terhadap snuker, pool dan billiard yang selalu dilihat secara tidak adil,” tegas Sam.
Beliau menyatakan sedemikian semasa majlis pelancaran Cabaran 8 Blackball Piala Super 2024 di Donnis, Rock Café, Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 30 April lalu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Encik Sam Satishkumar.
=======================================================================
Dengan menawarkan hadiah lumayan dan menggalakkan persekitaran yang merangsang, KSS, tambah Sam, mahu mengangkat sukan 8 Blackball ini, dan mengenal pasti bakat-bakat terpendam.
Turut hadir Presiden The Billiard Sports, Encik Melvin Chia; pemilik Akademi Sukan Donnis, Sunway, Encik Michael Tan; pemilik Backyard Pub & Grill, Sri Hartamas, Encik Jerry Chong; pemilik Bar Above, Encik Guna Ravichandran; pemilik Where Else Sunway, Encik Danny Quek, dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Dato’ Freddie Fernandez.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan sokongan padu yang dibuktikan menerusi peningkatan peserta dari 160 pada 2023 kepada 210 pada tahun ini, penganjur membuat keputusan menaikkan kadar hadiah dari RM38,000 kepada RM55,000.
Menurut Melvin, sebagai ‘orang kuat’ badan kerajaan dalam sukan billiard di Malaysia, beliau gembira penganjur berusaha mendapatkan sokongan pihaknya bagi menjayakan kejohanan ini.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan peningkatan popularitinya, tambah beliau, The Billiard Sports berharap suatu hari nanti ia akan dipertanding dalam acara multi-sport seperti Sukan Asia Tenggara, dan Sukan Asia.
Tambahan pula, kejohanan ini turut menjadi platform yang menyatupadukan dan membawa rakyat Malaysia pelbagai latar belakang bersama-sama dengan para peserta tanpa mengira bangsa, dan agama.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Menurut formatnya, sebanyak 26 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan dalam pusingan secara round robin – bermain di tempat sendiri dan tempat lawan dalam pusingan kelayakan.
Tiga pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke Divisyen 1, sementara yang tercorot pula bersaing dalam Divisyen 2 untuk merebut hadiah, masing-masing RM35,000 dan RM20,000.
Pertandingan ini akan dijalankan menerusi format dua penyingkiran dan kalah mati dengan suku akhir, separuh akhir dan akhir dilangsungkan di gelanggang berkecuali.
Untuk menggalakan lebih penyertaan, penganjur memperkenal kategori tambahan untuk lelaki dan wanita perseorangan terbuka, dengan tawaran hadiah masing-masing RM15,000 dan RM7,000.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sam turut mengucapkan terima kasih kepada Donnis Sports Sunway, The Lakeview Club Subang Jaya, Backyard Pub & Grill, A Bar Above, dan Where Else Sunway atas sokongan kuat mereka sebagai penaja, demi memastikan kejohanan yang dianjurkan mencapai kejayaan.
Beliau juga menghargai pihak KARYAWAN yang turut memberikan sokongan padu, walaupun tidak terlibat secara khusus.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
-
RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: