Dari kiri; Sheila @ Noorshila Amin, Profesor Ramlan Imam, Datuk Ramli Sarip, Dato’ Khaty Ibrahim, Dato’ Freddie Fernandez, dan Ezlynn.

=======================================================================

MUZIK

 

KARYAWAN

Bantu Penggiat Seni Veteran Negara dengan Persembahan Penyanyi Legenda

 

SEDIH dan terkejut melihat beberapa penggiat seni veteran tanah air yang tidak disangka sama sekali hidup terlantar dalam kepayahan, mendorong penyanyi legenda tanah air, Dato’ Kathy Ibrahim memikirkan sesuatu untuk membantu.

 

Beliau atau nama sebenarnya, Khadijah Ibrahim, yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) teruja dan bersemangat untuk menjayakan sebuah majlis makan malam amal anjuran Karyawan, yang bertujuan mengumpulkan dana bagi tabung persatuan berkenaan.

 

Walau bagaimanapun, hasil kutipan itu bukan untuk kepentingan Karyawan. Ia sebaliknya akan digunakan untuk membiayai beberapa perkara, temasuk membantu para penggiat seni veteran seperti yang disebutkan tadi.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                              

Dato’ Khaty Ibrahim turut mencadangkan agar para pelajar Fakulti Muzik ASWARA diberikan harga istimewa untuk hadir menonton Majlis Makan Malam Amal Legends sambil mempelajari sesuatu.

=======================================================================

Majlis yang dinamakan Majlis Makan Malam Amal Legends (MMAL) itu akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur pada 2 Jun 2024 dari jam 8 hingga 11 malam.

 

“Jika boleh dan supaya dapat membantu lebih banyak, kita perlu berusaha menganjurkan majlis makan malam seumpama ini setiap bulan,” tambah penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Ku Sangka Siang Kiranya Malam pada 1978 itu.

 

Selain Kathy, tiga lagi penyanyi legenda Malaysia dan Singapura, iaitu Dato’ Awie (Wings), Datuk Ramli Sarip, dan Rahimah Rahim turut bersedia untuk tampil membuat persembahan hebat masing-masing.

 

Penampilan mereka dalam format revival yang diiringi pemuzik berbakat dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (ASWARA) di bawah kelolaan Profesor Ramlan Imam, akan turut disertai penyanyi veteran Sheila @ Norshila Amin, dan Ezlynn.

 

Walau bagaimanapun, mana-mana penyanyi yang hadir pada 2 Jun itu nanti boleh juga tampil ke pentas menyanyi,” ujar Kathy semasa Sidang Media MMAL di Dewan Perdana Felda pada 29 April lalu.

 

Khaty turut sependapat dengan Datuk Ramli bahawa penyanyi yang akan tampil nanti perlu bersungguh-sungguh membuat persembahan.

 

“Jadi, dengan sekian banyak lagu popular masing-masing, kurang wajar jika hanya menyanyikan sebuah dua lagu sahaja,” tegas beliau.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                       

Datuk Ramli Sarip (tengah) bersama-sama Profesor Ramlan Imam, dan Dato’ Khaty Ibrahim (kanan).

=======================================================================

Selain Khaty, Ramli, dan Ramlan, sidang media itu turut dihadiri tonggak Karyawan seperti Dato’ Freddie Fernandez (Presiden), Haji Kamal Kassim (Bendahari); Rozita Rohaizad (Setiausaha Agung), Ahmad Abdullah (Pengurus Besar), serta Sheila dan Ezlynn sendiri (Ahli Jawatankuasa).     

 

Awie tidak hadir kerana berada di Belanda, sementara Rahimah bercakap menerusi sidang video dari Singapura.

 

Sementara itu, Ramli memuji usaha Karyawan menganjurkan MMAL itu yang bukan sahaja dapat membantu meringankan beban kehidupan penggiat seni veteran, malah mengharumkan lagi nama persatuan tersebut.

 

Usah pedulikan suara-suara sumbang. Mereka hanya mengkritik tanpa bertindak apa-apa. Majlis yang akan diadakan nanti bertujuan mengutip derma. Jadi, amat perlu menampilkan penyanyi yang mampu menarik seberapa ramai hadirin,” tegas penyanyi yang terkenal dengan jolokan Papa Rock itu.

 

Beliau yang pastinya turut teruja memberitahu jika diizinkan Allah SWT, akan membeli tiga atau empat meja.

 

Rahimah pula menyatakan minat yang mendalam, dan seperti tidak sabar menunggu tarikh 2 Jun.

 

Sementara itu, Ramlan menegaskan ASWARA menerima sesiapa sahaja yang mahu bekerjasama dengannya menjayakan kegiatan seni tanpa sebarang syarat.

 

“Mengapa perlu ditolak? Memberikan kerjasama seperti turut berperanan menjayakan majlis makan malam amal ini sebenarnya adalah tanggungjawab ASWARA,” tegas beliau.

 

Sehubungan itu, Karyawan juga amat berharap untuk memperoleh sokongan padu daripada individu, atau syarikat yang berminat ikut menjayakan MMAL nanti.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                         

Profesor Ramlan Imam dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan  (ASWARA).

=======================================================================

Majlis gilang-gemilang tersebut berusaha mencapai matlamat menerusi format pembelian meja tajaan sebagaimana berikut:

i)             Penaja Meja Berlian – RM100,000

ii)            Penaja Meja Platinum – RM50,000

iii)           Penaja Meja Emas – RM10,000

iv)          Penaja Meja Perak – RM5,000

v)            Penaja Meja Biasa – RM3,000, RM2,000.

 

Sesiapa yang berminat boleh membuat tempahan dengan menghubungi Dato’ Freddie (012-2071400, e-mel fredez2009@gmail.com), atau Ahmad Abdullah (014-7176276, e-mel nurahmad@gmail.com).

 

Pembayaran adalah melalui pemindahan atas talian atas nama Persatuan Karyawan Malaysia menerusi nombor akaun 3108024130 Public Bank Berhad, cawangan PJ New Town.

 

-       RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

No comments:

Powered by Blogger.