SASTERA BUDAYA









SEPUCUK SURAT TERIMA KASIH


PAYAH sedikit mengulas/mengkritik filem adaptasi daripada kisah sebenar, apatah lagi yang melibatkan orang biasa/bukan tokoh terkenal. Pengadaptasian memang tidak mengambil seratus peratus daripada yang asli. Oleh sebab itu, adaptasi daripada kisah orang biasa disentuh berlandaskan logik dalam filem, dan logik akal.
Filem ini adaptasi kisah benar pelajar sekolah, Ikmal (lakonan Wafiy) yang mengutus
sepucuk surat kepada Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia
(PERKESO), Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz pada 2010. Tidak diketahui
berapa peratus realiti yang diambil.
Menerusi surat tersebut, Ikmal menzahirkan kesyukuran, serta terima kasih atas
bantuan dan jasa agensi kerajaan itu. Dia pelajar cemerlang yang tersepit antara
melanjutkan pelajaran dengan membantu keluarganya selepas bapanya, Kamil
(Namron) lumpuh akibat kemalangan jalan raya.
Bercorak drama, ‘Warkah’ diterbitkan oleh PERKESO bersama-sama Opy Global Pictures Sendirian Berhad. Trelernya telah dilancarkan oleh Menteri Sumber 
Manusia Malaysia, M Kulasegaran dalam majlis bersempena sambutan Hari Raya
Aidilfitri PERKESO 2019 di Menara PERKESO, Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu.
Selepas Filem Negara Malaysia menerbitkan filem ‘Embun’ (2002) dan ‘Paloh’ (2003), PERKESO (di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia) merupakan agensi kerajaan terbaharu yang turut membikin filem untuk pawagam.
Penambahan jumlah filem Melayu Malaysia adaptasi sejak kebelakangan ini merupakan perkembangan positif berbanding kisah rekaan, apatah lagi kalau persembahannya cemerlang.
Jika mengikut jalan cerita, perkataan ‘Warkah’ didapati tidak sesuai sebagai judul filem ini. Surat atau warkah daripada Ikmal dengan segala kandungannya itu hanya
menjadi pendorong penerbitan filem berkenaan.
Warkah bertujuan mengangkat peranan PERKESO. Walau bagaimanapun, masalah
Sufi (Syazwan Zulkifli), adik Kamil yang lebih ditonjolkan. ‘Watak’ PERKESO tidak
muncul di sepanjang hampir sejam awal durasi ‘Warkah’. Tidak mengapa jika
masalah Sufi dalam perniagaan MLM-nya menimbulkan konflik, sebagai contoh,
perhatiannya terhadap Kamil terjejas.
Namun begitu, dalam kemelut diburu oleh bawahan(‘dowline’)nya yang naik angin kerana tertipu, Sufi masih dapat mengurus Kamil serta Ikmal, dan anak bongsu abangnya, Hana (Rayqa) dengan baik. Dia sempat bercinta pula dengan guru bahasa Inggeris Ikmal, Cikgu Nur (Isyariana AF).
Konflik ditimbulkan oleh Ikmal yang ponteng sekolah seminggu kerana bekerja
sambilan mencuci kereta, sebelum diketahui Cikgu Nur. Akibat perbuatannya itu, Ikmal dipukul oleh Sufi.
Saya fikir lebih menarik/baik jika hal-ehwal PERKESO dipaparkan sedikit demi sedikit semasa Kamil masih sihat, bukan timbul mendadak setelah kehadiran Cikgu Nur yang sebenarnya mahu memenuhi wasiat ayahnya, Jalal (Mutalif Abu Bakar).
Kalau mahu ‘mengangkat’ PERKESO, ‘angkat’lah dengan ‘berhemah’.
Allahyarham Jalal meminta Cikgu Nur menyampaikan permohonan maaf daripada
Kamil, malah menjaga keluarga pencarum PERKESO itu. Jalal secara tidak sengaja
melanggar Kamil yang sedang menunggang motosikal pada suatu hari. Dia meninggal dunia beberapa hari kemudian akibat lemah jantung.
Malangnya, tiada adegan Kamil menyebut soal PERKESO kepada Ikmal ataupun rakan-rakan baiknya, Pak Itam (Rosli Mad Zin), dan Ong (Jesse Lim). Sufi juga seolah-olah tidak tahu apa-apa mengenai PERKESO sehingga diberitahu oleh Cikgu Nur.
Setelah Cikgu Nur muncul baru Kamil menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Tun Razak di bawah Program Saringan Kesihatan PERKESO. Memang
sedemikian dalam realiti atau hanya ditambah-tambah?
Ikmal melenting setelah mengetahui motif kebaikan Cikgu Nur terhadap keluarganya, dan hampir-hampir tidak menduduki peperiksaan. Walau bagaimanapun, dia muncul di dewan peperiksaan pada saat-saat terakhir. Penonton tertanya-tanya mengapa pelajar berusia 17 tahun itu kembali tiba-tiba, dan memohon maaf.
Rupa-rupanya Ikmal insaf kerana tindakan Sufi. Namun demikian, penonton keliru/terkejut kerana tindakan Sufi dipaparkan secara mengejut. Penonton lambat menyedari bahawa adegan Sufi membawa Ikmal ke pusara ayah dan ibu Cikgu Nur, dan ibunya dalam hujan lebat itu ialah imbas kembali.
Terasa sia-sia kaedah psikologi untuk menyedarkan Ikmal itu dicacatkan oleh teknik imbas kembali yang lemah, dan lontaran suara Sufi yang kurang jelas. Sepatutnya, dengan tona warna berbeza ataupun ada tanda sekilas untuk adegan tersebut.
Opie Zami sinonim dengan lakonan/watak komedi. Tidak pasti kenapa dia mahu/diminta – mengarahkan ‘Warkah’ yang bercorak drama (serius)? Pun begitu, Opie tetap Opie kerana beberapa gaya lucunya terlihat menerusi
adegan Sufi mempelawa Cikgu Nur makan malam, dan cuba menghidupkan skuternya yang tiba-tiba meragam.
‘Warkah’ dianggap/dijangka tidak akan mendapat sambutan, apatah lagi ditayangkan di pawagam kompleks beli-belah (‘cineplex’) yang mementingkan keuntungan.
Disebabkan tiada potensi meraih keuntungan, tetapi masih mahu/berusaha mengajar/mendidik masyarakat, ada pihak mencadangkan agar Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional Malaysia membina pawagam rakyat – untuk tayangan
filem-filem ‘pendidikan’/’seruan’, bukan ‘buat duit’ seperti ‘Warkah’ ini.  



No comments:

Powered by Blogger.