Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom
Tampilkan Unsur-unsur Kekaguman
PADA 3 dan 4
September 2022 ini, sebuah teater akan menggegarkan pementasan teater tanah air
di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Teater muzikal
terbaharu tersebut yang berjudul Teater
Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom menampilkan lakonan, dan aksi maskot
Upin, Ipin serta kawan-kawan dalam pengembaraan dunia penuh magik, ‘Pin Pin
Pom!’
Untuk memberikan impak luar biasa pada pementasannya,
teater ini menggunakan teknologi terkini seperti teknik kesan khas, kesan pencahayaan, serta penggunaan skrin LED.
Dengan durasi pementasannya
selama lebih sejam dan dipadatkan oleh aksi yang mendebarkan, serta mencuit
hati, dan lagu-lagu muzikal, penonton akan terhibur, dan turut menyanyi
bersama-sama.
Antara lagu yang didendangkan ialah lagu popular Upin
& Ipin seperti Gembira Bermain,
dan ciptaan baharu, Upin & Ipin Berani,
dan Pin Pin Pom.
Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom
turut menampilkan beberapa watak baharu yang pertama kali untuk pementasan
teater, seperti Pahlawan Magik Upin Ipin, dan Nenek Kebayan.
Para penonton jangan melepaskan peluang menyaksikan unsur-unsur
kekaguman dalam babak-babak pertarungan
Pahlawan Magik Upin Ipin dengan Nenek Kebayan, dan ‘kaki pukul’ antagonis itu –
kumpulan Tengkorak dan labah-labah hitam besar.
Untuk lebih memeriah dan menghidupkan persembahan, para
penonton digalakkan mendapatkan cokma bercahaya (light stick) yang dijual di luar dewan – light stick itu boleh digunakan dari semasa ke semasa mengikut
kesesuaian dalam babak.
Teater ini dihasilkan oleh Les’ Copaque Production, dan
diuruskan bersama-sama oleh syarikat Star Fotress Sdn Bhd, serta diarahkan oleh
Siti Rohaya Attan, pengarah teater yang tidak asing lagi.
Walaupun hanya dua
hari, tetapi sebenarnya ada enam pementasan, iaitu tiga kali dalam sehari – jam
11 pagi, 3 petang dan 8.15 malam.
Bersempena dengan cuti sekolah yang telah bermula, Les’ Copaque berbesar hati menawarkan harga promosi untuk teater ini, iaitu
potongan harga tiket sehingga 50 peratus. Untuk mendapatkan promosi ini,
layari laman sesawang Trip.Com, dan tiket masih boleh dibeli sehingga pada hari
persembahan.
Jualan tiket promosi:
Laman sesawang: https://Trip.com(https:
//my.trip.com/w/UpinIpin-2022).
Teater Muzikal Upin
& Ipin – Pin Pin Pom membawa kisah Upin dan Ipin yang secara tidak
sengaja terjumpa, dan membawa pulang Batu Delima Sakti kepunyaan Nenek Kebayan.
Nenek Kebayan yang mahu menakluki dunia magik, memerlukan kuasa dari Batu
Delima Sakti tersebut. Upin dan Ipin kemudian bertukar menjadi Pahlawan Magik,
dan menentang Nenek Kebayan.
Untuk mengetahui adakah dua beradik kembar itu berjaya
menghalang niat Nenek Kebayan dan melindungi dunia magik, serta Kampung Durian
Runtuh, silalah datang menonton teater muzikal ini yang koreografinya di bawah
arahan A Aris A Kadir.
Selepas 10 tahun, syarikat
produksi yang menerbitkan animasi nombor satu negara ini, Les’ Copaque
Production Sdn Bhd (Les’ Copaque Production) kembali menerbitkan teater muzikal
Upin dan Ipin.
Selepas pementasan pertama
di Panggung Sari, Istana Budaya pada 2012, pementasan yang kedua ini diberikan
judul Teater Muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom yang sesuai ditonton oleh pelbagai
lapisan masyarakat.
Menurut Pengarah Urusan
Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, teater ini dirancang ekoran
sambutan hangat terhadap teater muzikal pertama.
Burhanuddin memberitahu Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom
ini menampilkan pengisian yang berbeza.
Tambah Burhanuddin, banyak
multimedia yang diolah berbanding 10 tahun lalu. Ini menunjukkan karya 100
peratus datang daripada karyawan tempatan.
Menjawab persoalan mengapa
Dewan Plenary dan bukan Panggung Sari Istana Budaya, beliau menjelaskan, memang
Panggung Sari pilihannya. Namun begitu, promoter mahukan Dewan Plenary kerana
lebih menarik bagi mereka.
Burhanuddin turut memberitahu
Les’ Copaque Production merancang untuk membawa Teater Muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom ke Singapura,
Indonesia dan Brunei.
Beliau turut berharap
teater muzikal ini akan terus berkembang, sehingga akhirnya seiring dengan
Disney.
Les’ Copaque Production
berharap Upin & Ipin menjadi nama besar, dan boleh dibawa ke seluruh dunia.
Karya Malaysia diharap dapat pergi ke tahap antarabangsa.
Sementara itu, Siti Rohaya
memberitahu cabaran yang dihadapinya dalam pengarahan kali ini ialah
menggabungkan prestasi para pelakon dengan teknologi terkini yang digunakan.
Walau bagaimanapun,
katanya, itu turut mendorong usaha dan kreativiti untuk mengatasi agar
pementasan tampil hebat, dan menghiburkan semua penonton.
No comments: