==================================================================================================================================================
EKONOMI
Lapan
Resolusi untuk Perkasa Gerakan Koperasi Negara
KONGRES
KOPERASI KEBANGSAAN 2024
KONGRES Koperasi Kebangsaan (KKK) 2024 berlangsung pada 25 dan 26 Julai 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dengan tema, ‘Koperasi Pemangkin Ekonomi MADANI’, yang cukup dekat dengan misi serta visi yang dibawa oleh kerajaan sekarang, kongres kali ketiga ini anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), bersama-sama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), dan Dasar Koperasi Malaysia 2030.
KKK dimulakan dengan Ucap Utama oleh YBhg Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), dan Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP), di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL pada 25 Julai.
Pada hari pertama itu juga KKK 2024 diisi dengan tiga pembentangan kertas kerja, sebuah wacana koperasi, dan sebuah bengkel.
Kertas Kerja 1, Dasar Koperasi Malaysia 2030 dibentangkan oleh KUSKOP. Kertas Kerja 2, iaitu Prestasi, Isu dan Cabaran Gerakan Koperasi oleh SKM, dan Kertas Kerja 3, Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Modal Insan Koperasi pula oleh IKMa.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
YYBhg Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah (tiga dari kanan) menyerahkan resolusi Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 kepada Perdana Menteri dan Menteri KUSKOP.
2. ===============================================================================================================================
Wacana Koperasi bertajuk Ekonomi MADANI Malaysia dijayakan oleh YBhg Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bengkel Perbincangan Kumpulan pula di Bilik Johor-Kedah, Bilik Melaka dan Bilik Kelantan Dewan Tun Hussein Onn terbahagi kepada Kumpulan 1: Memperkasa Jati Diri dan Identiti Koperasi, Kumpulan 2: Penambahbaikan Akta, Peraturan dan Tata Kelola Koperasi, Kumpulan 3: Pengukuhan Pendidikan dan Modal Insan Koperasi, dan Kumpulan 4: Meningkatkan Daya Saing Perniagaan Koperasi.
=========================================================================
Majlis Penutupan KKK 2024 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, WTCKL pada 26 Julai.
Selain Datuk Seri Dr Fattah, turut hadir, YB Datuk Ewon Benedict, Menteri KUSKOP dan Timbalannya, juga lebih 5,000 peserta melibatkan pemimpin dan anggota koperasi, wakil agensi kerajaan persekutuan dan negeri, wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun secara fizikal dan dalam talian, serta pelajar sekolah yang diundang khas.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Reruai Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) turut menyertai Kongres Koperasi Kebangsaan 2024.
=========================================================================
Sebelum Dato’ Seri Anwar berucap dan menyempurnakan majlis penutupan, Dr Fattah menyampaikan ucapan beliau, dan menyerahkan lapan resolusi KKK 2024 kepada Perdana Menteri, di hadapan semua hadirin, sebagai agenda pemerkasaan koperasi negara, dalam persaingan ekonomi yang semakin mencabar.
Dengan memfokuskan kepada isu inisiatif dan hala tuju baharu gerakan koperasi, lapan resolusi itu adalah:
i) sektor koperasi hendaklah diiktiraf sebagai sektor utama penyumbang kepada ekonomi negara yang menjadi pemangkin kepada kerangka ekonomi MADANI;
ii) meminda undangundang dan peraturan bagi mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan;
iii) mengembalikan pengurusan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi kepada ANGKASA sebagaimana yang termeterai dalam Aspirasi Koperasi Malaysia;
iv) memperkukuh mandat dan peranan agensi utama koperasi, iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagaibadan kawal selia, ANGKASA sebagai badan pembangunan perniagaan, serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sebagai badan latihan dan pendidikan;
v) mengiktiraf kurikulum koperasi dalam sistem pendidikan negara ke arah memasyarakatkan koperasi;
vi) menyediakan peruntukan yang mencukupi kepada gerakan koperasi seperti mana yang dinikmati oleh perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS);
vii) kumpulan wang anggota yang dikecualikan cukai dinaikkan daripada RM750 ribu kepada RM1.5 juta untuk meningkatkan daya saing koperasi; dan
viii) menubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk pembangunan koperasi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, dan diurus setia bersama oleh KUSKOP dan ANGKASA.
Terdahulu, pelbagai isu telah diangkat sebagai agenda hasil libat urus melibatkan pelbagai agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan serta pemegang taruh yang dijemput khas menerusi beberapa siri Sesi Libat Urus (SLU) anjuran ANGKASA, bermula Februari 2024.
KKK 2024 memberikan penekanan kepada empat fokus utama iaitu:
- jati diri dan identiti koperasi.
- akta, peraturan dan tata kelola koperasi.
- pendidikan dan modan insan koperasi.
- daya saing perniagaan koperasi.
Fattah turut menekankan bahawa pemantauan dan pelaksanaan semua resolusi yang diketengah adalah penting, dan perlu diberi perhatian, terutama selepas berakhirnya KKK 2024.
“Hasil resolusi bukan hanya sekadar laporan dan kertas kerja semata-mata, tetapi idea-idea yang diperoleh sepanjang sesi libat urus, dan kongres ini memerlukan komitmen daripada Perdana Menteri untuk dilaksanakan oleh kerajaan,” tegas beliau.
=========================================================================
ANGKASA, tambah Fattah, yakin resolusi ini akan dimuktamadkan menerusi pemantauan yang berterusan dan penyelarasan dari semasa ke semasa untuk memartabatkan sektor koperasi ke tahap lebih baik.
“Mengukur kejayaan sebenar KKK 2024 terletak pada usaha menyeluruh semua pemimpin dan anggota koperasi, wakil agensi kerajaan dan wakil NGO untuk menterjemahkan resolusi dalam bentuk pelaksanaan efektif bagi memenuhi harapan dan aspirasi koperasi,” katanya.
KKK 2024 menjadi wadah wakil koperasi dari latar belakang berbeza berbincang, dan mengisytiharkan beberapa resolusi berhubung isu cabaran yang dihadapi oleh gerakan koperasi sepanjang lebih 100 tahun berperanan memberi sumbangan kepada peningkatan sosioekonomi negara.
=========================================================================
Kongres pertama koperasi yang dikenali sebagai Kongres Kerjasama Malaysia Pertama telah diadakan pada 1966, manakala Kongres Kerjasama Malaysia Kedua pada 20-21 Mac 1971 telah memuktamadkan penubuhan sebuah kesatuan koperasi peringkat kebangsaan bagi mewakili gabungan koperasi peringkat nasional, dan antarabangsa yang membawa kepada detik bersejarah penubuhan ANGKASA secara rasminya pada 12 Mei 1971.
ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi
negara menaungi lebih 15,809 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang
di seluruh negara.
Ini, tambah Fattah, selaras dengan iktikad
dan yang dicartakan oleh Perdana Menteri ketika Majlis Makan Malam Koperasi
Keadilan Berhad (KIRA) tahun lalu, bahawa gerakan koperasi merupakan satu wadah
untuk merakyatkan ekonomi negara, serta mengurangkan kebergantungan kepada
kejayaan pelabur dan syarikat besar.
KKK 2024 bukan sahaja menjadi sebahagian
daripada lipatan sejarah gerakan koperasi negara, tetapi ia juga boleh diangkat
sebagai agenda utama sempena setahun Ekonomi MADANI yang dilancarkan oleh Anwar
pada 27 Julai 2023.
Gerakan koperasi sedia menggalas
tanggungjawab untuk menjayakan agenda Ekonomi MADANI. Misi dan Visi ANGKASA
bertepatan dengan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
Resolusi yang disediakan ini adalah hasil
daripada 27 Sesi Libat Urus (SLU) dimulakan dari Februari hingga Jun 2024,
dengan penglibatan seramai lebih 6,000 orang dari pelbagai latar belakang.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
- RAJA YUSOFF ARIFFIN
-
R
1.
4.
No comments: